Campus

Pendaftaran pelajar baharu separuh masa PACE meriahkan Hari Orientasi Pelajar 2025

Gambar Mohd Fuad Hamid

SINTOK, 13 Oktober 2025: Suasana penuh semangat dan keterujaan menyelubungi Kompleks Konvensyen, semalam apabila pelajar baharu separuh masa Pusat Pendidikan Profesional dan Lanjutan (PACE) mendaftar sempena Hari Orientasi PACE 2025 yang berlangsung dengan jayanya.

Seramai 91 pelajar baharu dari jumlah keseluruhan 268 pelajar telah hadir mendaftar masuk sebagai pelajar separuh masa PACE UUM.

Pengarah PACE, Prof. Madya Dr. Herman Shah Anuar berkata, Program Orientasi PACE 2025 yang kembali diadakan setelah tujuh tahun tidak dilaksanakan bertujuan memperkenalkan pelajar baharu kepada sistem pembelajaran separuh masa, kemudahan kampus, serta memberikan pendedahan awal mengenai perjalanan akademik mereka sepanjang tempoh pengajian.

Menurutnya, sambutan tahun ini agak meriah dan memberi petunjuk positif, mencerminkan komitmen berterusan golongan profesional dan dewasa dalam meningkatkan kemahiran dan kelayakan akademik.

“Kami berbangga melihat semangat pelajar-pelajar baharu yang datang dari pelbagai latar belakang antaranya anggota beruniform, penjawat awam, hinggalah kepada golongan industri yang memilih untuk terus belajar walaupun mempunyai komitmen kerja dan keluarga,” katanya.

Sepanjang Hari Orientasi PACE 2025, pelajar-pelajar diberi taklimat berkaitan struktur kursus, penggunaan sistem pembelajaran atas talian, sokongan akademik, Slot Bersama Pusat Kaunseling, Perpustakaan Sultanah Bahiyah, UUMIT serta peluang pembangunan kerjaya, selain sesi dialog bersama alumni PACE yang berkongsi pengalaman dan motivasi sepanjang pengajian.

Pelajar, Azrul Nizam Hussin, 42, yang merupakan Penolong Pegawai Farmasi dari Perak meluahkan keterujaannya menyertai PACE.

“Saya mahu tingkatkan taraf pendidikan demi masa depan keluarga saya. Belajar secara separuh masa sangat fleksibel, sesuai dengan kerja saya sekarang,” katanya yang baru mendaftar dalam program Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Awam.

Hari Orientasi PACE 2025 ini bukan sahaja memperkukuhkan hubungan antara pelajar dan warga PACE, malah menjadi titik permulaan kepada perjalanan akademik yang bermakna bagi setiap individu yang hadir.

Turut berlangsung, Majlis Ikrar Pelajar Baharu PACE diketuai Muhammad Amir Asyraf Ahmad Bakri, yang menjadi simbol komitmen dan kesungguhan pelajar untuk menempuh perjalanan akademik mereka dengan penuh dedikasi.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Mohd Azizuddin Mohd Sani, mewakili Naib Canselor telah menyampaikan amanat khas kepada pelajar.

Dalam ucapannya, beliau menyeru agar semua pelajar kekal bersemangat dan berdisiplin sepanjang tempoh pengajian, meskipun berdepan cabaran sebagai pelajar separuh masa.

“Langkah yang diambil hari ini adalah satu pelaburan jangka panjang untuk masa depan. Teruskan usaha dan jangan berputus asa. Kami di PACE akan sentiasa bersama anda dalam perjalanan ini.

“Pembelajaran sepanjang hayat bukan sahaja memberi nilai tambah kepada individu, malah ia selari dengan dasar pembangunan modal insan negara. Anda semua adalah sebahagian daripada tenaga kerja masa depan yang berpengetahuan, berkemahiran dan bersedia untuk menyumbang kepada kemajuan negara,” katanya.

Beliau turut menyeru pelajar supaya menggunakan peluang ini untuk membina jaringan, meningkatkan kemahiran diri serta berazam untuk mengubah nasib diri dan keluarga melalui pendidikan.

Dr. Mohd Azizuddin menekankan kepentingan pengurusan masa dan sokongan moral daripada keluarga serta majikan dalam memastikan kejayaan pelajar.

Pendaftaran pelajar separuh masa untuk sesi akademik 2025 masih dibuka sehingga 22 Oktober 2025, dan orang ramai yang berminat digalakkan untuk mendaftar melalui laman rasmi PACE atau menghubungi kaunter pendaftaran PACE.

Hadir sama, Pendaftar, Ahmad Rasidi Abdullah; Dekan-Dekan Pusat Pengajian, Timbalan Pengarah PACE, Prof. Madya Dr. Abdul Aziz Othman; Penyelaras PACE dan ibu bapa pelajar. – Mohd Fairus Abd Majid

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button