Campus

UUM PRESS raikan dua karya baharu dalam Majlis Resensi Buku sempena Festival of Ideas @ Kedah

Gambar oleh UUM Press

SINTOK, 10 Oktober 2025: Suasana ilmiah dan penuh inspirasi mewarnai Majlis Resensi Buku anjuran UUM Press sempena Festival of Ideas @Kedah, yang berlangsung di Bilik Ilmu, Dewan Mu’adzam Shah, Universiti Utara Malaysia (UUM).

Majlis menampilkan dua karya baharu yang sarat dengan nilai intelektual dan inovasi, iaitu Greedy Techniques for Selected Combinatorial Optimization Problems dan Creativity and Innovation Among Women Entrepreneurs in Malaysia.

Buku pertama dikupas oleh Profesor Dr. Razamin Ramli dan Profesor Madya Dr. Syariza Abdul Rahman dari Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS), UUM selaku penulis buku.

Kedua-duanya menjelaskan bagaimana pendekatan algoritma “greedy” mampu menyelesaikan pelbagai masalah pengoptimuman kompleks yang menjadi tunjang kepada bidang sains komputer, matematik gunaan dan penyelidikan operasi. Buku ini dianggap penting kerana berjaya menterjemahkan teori rumit kepada aplikasi praktikal yang relevan dengan cabaran dunia sebenar.

Sementara itu, buku kedua pula disampaikan oleh Profesor Madya Dr. Lily Julienti Abu Bakar, yang juga penulis buku, menyingkap kehebatan dan daya tahan usahawan wanita tempatan dalam mengadaptasi kreativiti dan inovasi bagi memperkukuh keusahawanan nasional.

Beliau menekankan bahawa daya fikir kreatif dan inovatif merupakan kunci utama kelangsungan perniagaan wanita dalam era digital dan ekonomi baharu.

Majlis yang dimudah cara oleh Puan Rosma Ishak, Timbalan Pengarah UUM Press, menjadi lebih menarik apabila perbincangan dan ulasan antara penulis dan tetamu berlangsung dengan penuh aktif. Pelbagai persoalan menarik dibangkitkan berkaitan kaedah penyelidikan, potensi aplikasi, serta impak sosial daripada kedua-dua buku tersebut.

 

Menurut Pengarah UUM Press, Prof. Sr. Dr. Mohd Nasrun Mohd Nawi, resensi seperti ini bukan sekadar memperkenalkan karya baharu, tetapi juga menjadi platform menghubungkan dunia penyelidikan universiti dengan masyarakat dan industri. “UUM Press komited untuk menerbitkan karya berkualiti tinggi yang memperkasa pengetahuan serta merangsang inovasi dalam pelbagai bidang,” ujar beliau.

Majlis berakhir dengan sesi penyampaian penghargaan kepada para penulis serta sesi bergambar bersama tetamu jemputan menandakan kejayaan satu lagi inisiatif UUM dalam memupuk budaya ilmu dan memperkukuh reputasi universiti sebagai pusat kecemerlangan akademik dan penerbitan ilmiah. – Mohammad Amzari Bakri

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button