Campus

Putera Iman Shah terima sumbangan mesin pencetak untuk kegunaan akademik

Gambar oleh: SSSD, JHEP

SINTOK, 13 Oktober 2025: Seorang pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM), Putera Iman Shah Shahiran, 19, telah menerima sumbangan sebuah mesin pencetak bagi membantu kelancaran urusan pembelajarannya di kampus.

Sumbangan tersebut disampaikan oleh Timbalan Presiden Persatuan Alumni UUM, Cikgu Zainol @ Zainal Abidin Mohamad (Cikgu Non), yang mewakili seorang penyumbang yang tidak mahu dikenali.

Majlis penyerahan telah berlangsung di foyer Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP) dan disaksikan oleh Pengarah Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Encik Muhammad Iskandar Zulkanain bin Muhammad Suhaimi.

Menurut Cikgu Non, pemberian tersebut adalah tanda keprihatinan dan sokongan alumni serta masyarakat terhadap kebajikan pelajar, khususnya dalam memastikan mereka mempunyai kemudahan yang mencukupi bagi tujuan pembelajaran sepanjang di universiti.

Sementara itu, Pengarah JHEP menyifatkan sumbangan itu sebagai satu inisiatif yang amat bermakna dan wajar dicontohi oleh masyarakat serta alumni lain dalam membantu mahasiswa yang memerlukan.

“Usaha seperti ini bukan sahaja meringankan beban pelajar, tetapi juga menyuntik semangat kepada mereka untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan akademik, di samping menyuntik kepentingan nilai keprihatinan dalam diri mereka,” katanya.

Putera Iman Shah menzahirkan rasa syukur dan terima kasih atas sumbangan yang diterima serta berjanji akan memanfaatkan kemudahan tersebut sebaik mungkin dalam tugasan dan urusan pembelajaran hariannya.

Sumbangan sebegini diharap dapat diteruskan dari semasa ke semasa sebagai salah satu bentuk galakan dan motivasi kepada pelajar UUM dalam meneruskan kecemerlangan akademik mereka. – Norain Adani Rozilani

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button