Campus

Forum Pasca Belanjawan 2026 ulas implikasi belanjawan terhadap rakyat dan ekonomi negara

Gambar oleh:  ECOFI dan SEFB

Sintok, 14 Oktober 2025 – Institut Dasar Ekonomi dan Kewangan (ECOFI), Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB), Universiti Utara Malaysia (UUM), dengan kerjasama Jabatan Penerangan Malaysia Negeri Kedah telah menganjurkan Forum Pasca Belanjawan 2026 bertempat di Dewan Seminar, Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML), UUM.

Program anjuran ECOFI ini bertujuan membincangkan intipati dan implikasi Belanjawan 2026 terhadap rakyat, perniagaan, dan ekonomi negara secara keseluruhannya. Forum dihadiri oleh hampir 200 peserta, selain disiarkan secara langsung di platform maya.

Forum menampilkan tiga ahli panel berpengalaman, iaitu Prof. Dr. Russayani Ismail (SEFB, UUM), Prof. Madya Dr. Irwan Shah Zainal Abidin (Felo Bersekutu Kanan ECOFI, SEFB, UUM) dan Prof. Dr. Natrah Saad (Felo Kanan Institut Kajian Strategik dan  Pembangunan Perakaunan Mampan, Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA – UUM), dengan Dr. Khairul Zharif Zaharudin (SEFB, UUM) sebagai moderator.

Dalam perbincangan ini, Prof. Dr. Russayani Ismail, antara lain, membincangkan mekanisme menangani kos sara hidup seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang disifatkan dapat memberi kelegaan sementara kepada isi rumah berpendapatan rendah, namun bersifat jangka pendek dan perlu dilengkapi dengan strategi peningkatan pendapatan yang lebih mampan.

Sementara itu, Prof. Dr. Natrah Saad menekankan keperluan pelaksanaan e-invois bagi mengurangkan ketirisan cukai dan meningkatkan hasil kerajaan, di samping memperkenalkan cukai karbon sebagai langkah menyokong kelestarian alam sekitar.

Prof. Madya Dr. Irwan Shah Zainal Abidin pula menumpukan kepada peranan TVET dalam sektor pertanian, mekanisme negara dalam menangani risiko “Trump Tariff”, serta kepentingan inisiatif pertanian bagi menjamin keselamatan makanan negara.

Majlis turut dimulai dengan ucapan aluan oleh Prof. Madya Dr. Shamzaeffa Samsudin selaku Pengarah ECOFI, tayangan montaj, serta penyampaian cenderamata kepada para panelis dan moderator. Forum berakhir pada jam 12.45 tengah hari. – Prof. Madya Dr. Shamzaeffa Samsudin

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button