“IPIZ walk & recharge 2025: Ringankan badan, tenangkan fikiran” semarakkan pagi warga kerja IPIZ UUM
Gambar oleh Ahmad Khalidi Abdul Halim
SINTOK, 14 Oktober 2025: Institut Penyelidikan dan Inovasi Zakat (IPIZ), Universiti Utara Malaysia telah menganjurkan satu program briskwalk santai bertemakan ” IPIZ Walk & Recharge 2025: Ringankan Badan, Tenangkan Fikiran ” yang melibatkan penyertaan daripada kalangan warga kerja institut.
Program ini diadakan sebagai inisiatif ringan tetapi bermakna untuk menyokong gaya hidup sihat, mengurangkan tekanan kerja, dan mengeratkan hubungan antara warga kerja dalam suasana luar pejabat yang lebih tenang dan santai.
Acara dimulakan pada awal pagi dengan bacaan doa dan sesi regangan badan bagi mempersiapkan diri sebelum memulakan perjalanan. Walaupun cuaca sedikit renyai, semangat peserta tetap tinggi apabila mereka memulakan briskwalk menuju ke destinasi pertama – Perpustakaan Sultanah Bahiyah, melalui laluan pejalan kaki berbumbung.
Dari situ, peserta meneruskan perjalanan ke Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS) sebelum berhenti rehat di lokasi yang dinanti-nantikan ramai – Kafe Hantu. Suasana pagi itu menjadi lebih meriah dengan sajian sarapan pagi yang pelbagai, termasuk mee siam, bihun sup, mee kuah, serta nasi berlauk dengan pilihan seperti ayam masak merah, kari daging, sambal sotong, dan banyak lagi.
Turut memikat selera ialah pelbagai pilihan air minuman berperisa, serta menu makanan Korea seperti kimari, kimchi, kimbab, mandu, dan lain-lain yang mendapat sambutan hangat daripada para peserta.
Selesai menikmati sarapan dan sesi santai bersama rakan sekerja, para peserta pulang ke pejabat dengan menaiki bas pelajar UUM yang disediakan khas bagi kemudahan mereka.
Pengarah Program, Encik Ahmad Khalidi Abdul Halim, turut berkongsi pandangannya mengenai penganjuran program ini:
“Kami percaya bahawa kesejahteraan kakitangan bukan hanya bergantung kepada suasana kerja yang baik, tetapi juga aktiviti luar pejabat yang boleh mengurangkan tekanan dan mengeratkan hubungan sesama staf. Briskwalk santai ini mungkin nampak sederhana, tapi impaknya besar – terutama kepada kesihatan mental dan fizikal kita semua.”
IPIZ merancang untuk menjadikan program seumpama ini sebagai acara berkala demi memastikan keseimbangan kerja dan kehidupan dapat terus diperkukuhkan dalam kalangan warganya. – Ku Hanani binti Ku Halim