Mohtar Hasim dilantik memangku jawatan Bursar, VU
Gambar oleh: Muhammad Shamsul Shafie
SINTOK, 19 Oktober 2025: Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dato’ Dr. Mohd Foad bin Sakdan, hari ini telah menyampaikan Watikah Kenaikan Pangkat Memangku Jawatan Akauntan Gred VU7 (Bursar) kepada Mohtar Hasim dalam satu majlis ringkas yang diadakan di Bilik Mesyuarat Naib Canselor.
Mohtar berkata beliau berasa gembira dan bersyukur atas kenaikan pangkat tersebut yang disifatkannya sebagai satu amanah besar untuk terus berkhidmat dengan penuh dedikasi dan integriti.
Menurut beliau, dalam pengurusan kewangan, disiplin yang tinggi amat penting dalam membuat sebarang keputusan kerana setiap tindakan yang diambil memberikan implikasi kewangan secara langsung kepada universiti.
Beliau turut menjelaskan bahawa Jabatan Bendahari merupakan pusat rujukan utama dalam urusan kewangan universiti serta bertanggungjawab bagi memastikan jabatan dan pusat tanggungjawab (PTJ) mematuhi segala peraturan kewangan yang berkuatkuasa di samping mengoptimumkan pengagihan dan penggunaan dana yang diperuntukkan bagi mencapai objektif Universiti. Katanya, pengurusan kewangan universiti pada masa kini amat mencabar dan memerlukan ketelitian serta komitmen tinggi bagi memastikan kelestarian kewangan universiti dapat terus dipertahankan.
Sementara itu, Naib Canselor mengucapkan tahniah kepada Mohtar atas kenaikan pangkat tersebut dan berharap beliau akan terus menunjukkan kepimpinan berintegriti, berakauntabiliti serta berorientasikan kecemerlangan dalam mengurus tadbir kewangan universiti.
“Jabatan Bendahari memainkan peranan penting dalam memastikan keutuhan kewangan universiti sentiasa terpelihara. Justeru, saya berharap seluruh warga jabatan dapat terus bekerja sebagai satu pasukan yang kukuh dalam menyokong visi dan misi universiti,” ujar beliau.