Perkasa bidang arkeologi melalui subjek Sejarah Tahun 4
Berita dan gambar Dr. Naizatul Akma Mohd Mokhtar
JENIANG, 21 Oktober 2025: Bidang arkeologi terus diperkasakan melalui pendekatan pendidikan awal apabila Pensyarah Kanan, Dr. Naizatul Akma Mohd Mokhtar dan sekumpulan pensyarah dari Unit Sejarah dan Kenegaraan Malaysia, Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah, Universiti Utara Malaysia (UUM) telah melaksanakan program pengayaan subjek Sejarah Tahun 4 di Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Baru Beris Jaya, baru-baru ini.
Dr. Naizatul berkata, program yang bertemakan “Kenali Arkeologi: Menyelami Kisah Zaman Dahulu” ini bertujuan memperkenalkan konsep asas arkeologi kepada murid sekolah rendah agar mereka memahami kepentingan bidang tersebut dalam mengenali sejarah dan asal-usul peradaban manusia.
Sepanjang sesi interaktif itu, menurutnya, murid-murid didedahkan kepada pelbagai topik menarik termasuk mengapa arkeologi penting dalam memahami sejarah, apa yang dicari dalam kajian arkeologi, serta aktiviti yang dijalankan oleh ahli arkeologi di lapangan.
Turut dikongsikan ialah penerangan tentang tapak-tapak arkeologi utama di Malaysia seperti Lembah Lenggong di Perak dan tapak arkeologi Sungai Batu di Kedah.
Bagi mengukuhkan pemahaman, sesi tayangan video mengenai kerja-kerja ekskavasi sebenar di tapak arkeologi turut diadakan, disertai pameran gambar aktiviti ekskavasi dan artifak. Aktiviti ini berjaya menarik minat murid yang kelihatan teruja melihat bagaimana ahli arkeologi bekerja menggali, merekod, dan menafsir tinggalan sejarah.
“Pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman dan visual seperti ini mampu menanam minat awal terhadap bidang arkeologi serta membentuk kesedaran tentang pentingnya pemeliharaan warisan negara.
“Pengenalan awal terhadap disiplin arkeologi dapat membantu murid memahami bahawa sejarah bukan sekadar hafalan, tetapi satu bidang ilmu yang hidup dan boleh diteroka,” katanya.
Guru Sejarah, Mahathir turut memuji inisiatif tersebut yang disifatkan sebagai selari dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Malaysia untuk menjadikan mata pelajaran Sejarah lebih menarik, interaktif, dan berasaskan nilai.
Melalui usaha sebegini, bidang arkeologi bukan sahaja diperkenalkan sebagai disiplin ilmiah di peringkat universiti, tetapi juga dipupuk sejak di bangku sekolah bagi memastikan generasi muda memahami bahawa sejarah ialah kisah masa lalu yang perlu digali, difahami, dan dihargai sebagai warisan bangsa.