Karnival kerjaya UUM 2026 tarik hampir 3,500 pengunjung, himpunkan lebih 40 majikan terkemuka
Gambar oleh: Talentbank
SINTOK, 18 & 19 Mei 2026: Karnival Kerjaya UUM 2026 yang berlangsung selama dua hari di Dewan Mu’adzam Shah, Universiti Utara Malaysia (UUM) berjaya menarik hampir 3,500 pengunjung terdiri daripada pelajar, graduan dan pencari kerja dari pelbagai institusi pengajian tinggi.
Karnival yang dianjurkan oleh Pusat Pembangunan Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan (PPKKG) bersama Talentbank itu menghimpunkan lebih 40 majikan terkemuka daripada pelbagai industri antaranya Maybank, DHL APSSC, Takaful Ikhlas Family Berhad, Prinx Chengshan, Baosteel serta banyak lagi syarikat yang menawarkan peluang pekerjaan, latihan industri dan pembangunan kerjaya kepada para pengunjung.

Selain warga UUM, program ini turut menerima kehadiran pengunjung luar daripada pelbagai institusi termasuk Akademi Binaan Malaysia (ABM), Albukhary International University (AIU), Kolej Vokasional, Kolej Komuniti, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), UiTM Kedah, UiTM Pulau Pinang dan beberapa universiti lain.
Majlis perasmian Karnival Kerjaya UUM 2026 telah disempurnakan oleh Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad, Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Perodua. Turut hadir ialah Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed, Naib Canselor UUM, Ben Ho, Ketua Pegawai Eksekutif & Pengasas Talentbank serta ahli-ahli Jawatankuasa Pengurusan Universiti (JPU).
Dalam ucapannya, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad menekankan kepentingan graduan untuk sentiasa meningkatkan kemahiran insaniah, komunikasi dan kebolehan menyesuaikan diri dengan kehendak industri semasa yang semakin kompetitif dan pantas berubah.

Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed berkata penganjuran Karnival Kerjaya UUM 2026 membuktikan komitmen universiti dalam memperkukuhkan hubungan strategik bersama industri bagi memastikan graduan UUM sentiasa relevan, kompetitif dan memenuhi kehendak pasaran pekerjaan semasa.
Beliau turut menegaskan bahawa platform seperti ini bukan sahaja membuka peluang pekerjaan kepada mahasiswa dan graduan, malah membantu mereka membina jaringan profesional, meningkatkan keyakinan diri serta memperoleh pendedahan awal terhadap dunia industri.
Sementara itu, Ben Ho turut memuji usaha UUM dalam menganjurkan program berskala besar yang menghimpunkan pelbagai syarikat industri dan institusi pendidikan dalam satu platform. Penganjuran program ini turut menyerlahkan reputasi UUM dalam kalangan industri sebagai institusi pendidikan tinggi yang aktif memperkukuhkan jaringan strategik bersama majikan, sekali gus komited dalam melahirkan graduan yang berkualiti, berdaya saing dan memenuhi keperluan pasaran kerja semasa.

Menurut beliau, kolaborasi erat antara universiti dan industri amat penting dalam memastikan graduan memiliki kemahiran yang diperlukan majikan serta bersedia menghadapi cabaran dunia pekerjaan yang semakin dinamik dan berdaya saing.
Antara pengisian utama yang mendapat perhatian ramai ialah sesi ceramah kerjaya bersama alumni UUM yang berjaya dalam bidang masing-masing. Ahmad Shahrul Hj Mohamed, Rakan Kongsi, Khairuddin Hasyudeen & Razi (KHR) yang juga Alumni Sarjana Muda Perakaunan dengan Kepujian (1994), berkongsi panduan serta realiti dunia pekerjaan khususnya dalam bidang perakaunan dan profesional.
Turut memeriahkan sesi ceramah kerjaya ialah Amran bin Tomin, Ketua Pegawai Modal Insan Kumpulan, Malaysian Aviation Group (MAG) merangkap Alumni Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dengan Kepujian (1996). Beliau berkongsi pandangan berkaitan pembangunan bakat, kepimpinan serta keperluan industri penerbangan dalam melahirkan graduan yang kompeten dan berdaya saing di peringkat global.

Selain pameran kerjaya dan sesi temuduga terbuka, pengunjung turut berpeluang menikmati pelbagai aktiviti menarik seperti pameran kereta daripada Mazda, Proton dan Perodua yang menjadi antara tarikan utama sepanjang program berlangsung.
Karnival ini turut dimeriahkan dengan sesi cabutan bertuah yang menawarkan pelbagai hadiah menarik tajaan Talentbank dan Courts Malaysia antaranya Apple Watch, JBL Speaker, EarPods serta Air Purifier.
Di samping itu, pelbagai vendor jualan turut mengambil bahagian dengan menawarkan makanan, minuman serta produk menarik kepada pengunjung yang hadir.
Penganjuran Karnival Kerjaya UUM 2026 dilihat berjaya menjadi platform penting dalam menghubungkan mahasiswa dan graduan dengan pihak industri, selain membuka peluang jaringan profesional serta meningkatkan kebolehpasaran graduan selaras dengan aspirasi universiti dan keperluan pasaran kerja semasa. – Anis Zulaikha Kamal



