Campus

Majlis penghargaan kepada NZ Nurfaz Enterprise atas kejayaan memperoleh sijil pengesahan halal malaysia

Gambar oleh IBS, UUM

SINTOK, 2 Oktober 2025: Institut Pengurusan Halal (IHM), Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), Universiti Utara Malaysia (UUM) terus mengorak langkah dalam memperkukuh pembangunan industri halal apabila berjaya membimbing sebuah lagi syarikat usahawan tempatan dalam memperoleh Sijil Pengesahan Halal Malaysia dan Sijil MeSTI.

Majlis Penyerahan Sijil Pengesahan Halal Malaysia kepada NZ Nurfaz Enterprise berlangsung pada 2 Oktober bertempat di Managers Coffee. Antara jemputan yang turut hadir ke majlis adalah Prof. Dr. Selamah Maamor, Dekan IBS, wakil daripada Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC), Dr. Muhammad Sabri bin Sinal, Timbalan Pengarah (Tugas-Tugas Khas dan Piawaian)para Timbalan Dekan IBS, para felo IHM (ahli perundingan) dan barisan sekretariat majlis. Kejayaan ini merupakan hasil usaha gigih dan komitmen tinggi syarikat di bawah bimbingan pasukan perundingan IHM.

“Kejayaan NZ Nurfaz Enterprise ini bukan sahaja membuktikan kesungguhan usahawan Muslim dalam mematuhi piawaian halal dan keselamatan makanan, malah memperlihatkan keberkesanan program bimbingan IHM dalam membina keupayaan halal dalam kalangan industri,” ujar Dekan IBS.

Menariknya, program bimbingan ini dijalankan di bawah lantikan Majlis Amanah Rakyat (MARA), yang telah melantik Institut Pengurusan Halal (IHM) sebagai Pemudah Cara bagi membantu syarikat-syarikat bimbingan MARA di seluruh negara dalam proses memperoleh pensijilan Halal Malaysia. Melalui lantikan ini, IHM bertanggungjawab memberi khidmat rundingan, latihan teknikal, dan sokongan dokumentasi halal kepada usahawan.

NZ Nurfaz Enterprise, yang beroperasi di bawah bimbingan IHM, merupakan pengeluar produk keropok lekor yang semakin mendapat sambutan di pasaran tempatan. Dengan adanya Sijil Pengesahan Halal Malaysia serta pensijilan MESTI, usahawan ini kini bersedia mengembangkan pasaran dengan keyakinan pengguna terhadap kualiti, kebersihan, dan pematuhan syariah produk mereka.

Pihak IHM turut menyatakan penghargaan kepada semua ahli pasukan perundingan yang terlibat secara langsung dalam membantu syarikat melalui proses permohonan dan dokumentasi. IHM akan terus memperkukuh kolaborasi bersama usahawan tempatan melalui program bimbingan dan latihan halal bagi memastikan lebih banyak syarikat tempatan mampu memperoleh pensijilan halal dan menembusi pasaran antarabangsa.

Tahniah diucapkan kepada NZ Nurfaz Enterprise atas kejayaan ini. Semoga menjadi inspirasi kepada lebih ramai usahawan Muslim untuk melaksanakan amalan perniagaan berteraskan halal dan toyyib, sekali gus memperkukuh ekosistem halal Malaysia.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button