Kerjasama UUM dan Penduduk Felda Laka Selatan Kukuhkan Penyelidikan Komuniti
ambar oleh: Nurul Ain Najwa binti Mohamad Jamil
CHANGLUN, 22 Oktober 2025 – Program kutipan data di Kampung Felda Laka Selatan, Changlun, Kedah telah berlangsung dengan penglibatan komuniti setempat serta penyelidik dari Universiti Utara Malaysia (UUM). Program yang diadakan pada 18 Oktober 2025 itu bertujuan mendapatkan maklumat mengenai keperluan penduduk Kampung Felda Laka Selatan dan menyokong matlamat Projek Transformasi Changloon (CTP).

Seramai empat orang penduduk kampung telah hadir dan memberikan kerjasama dalam sesi temu bual yang dikendalikan oleh enam orang pembanci. Kehadiran mereka turut disokong oleh Ketua Kampung Felda Laka Selatan, Encik Adnan bin Halib, yang mengalu-alukan usaha penyelidik UUM dalam mendekati komuniti setempat.

Sesi kutipan data ini bertujuan mengumpul maklumat berkaitan aspek sosial, ekonomi dan kehidupan seharian komuniti bagi menyokong penyelidikan yang dijalankan. Pada masa yang sama, ia membuka ruang kepada komuniti untuk berkongsi pandangan serta pengalaman mereka secara langsung, sekali gus memastikan data yang diperoleh lebih menyeluruh dan tepat.
Melalui penganjuran program ini, diharapkan hubungan erat antara universiti dan masyarakat dapat terus diperkukuh, selain menyumbang kepada pembangunan ilmu serta dasar berasaskan bukti.
Hadir sama, Timbalan Pengarah CeTMA, Prof. Madya Dr. Zahayu Md. Yusof; Pensyarah Pusat Pengajian Pengkomputeran (SOC), Prof. Madya Dr. Azizi bin Ab Aziz; Ketua Penolong Pengarah Jabatan Hal Ehwal Penyelidikan, Pembangunan dan Inovasi (JHEPPI), Encik Zul Rusydi bin Hussin; Pensyarah Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM), Nur Aliyah Sham binti Rambely; dan pelajar Ijazah Kedoktoran Matematik, Anis Izzatie binti Azman. – Tengku Nurul Aimi Balqis binti Tengku Malim Busu



