Campus

CeTMA tonjol inovasi dan inisiatif komuniti di Festival of Idea (FOI) @ Kedah 2025

Berita dan gambar oleh Tengku Nurul Aimi Balqis Tengku Malim Busu

SINTOK, 23 Oktober 2025: Pusat Pengujian, Pengukuran dan Penilaian (CeTMA), Universiti Utara Malaysia (UUM), telah menyertai Festival of Idea (FOI) @ Kedah 2025 yang berlangsung selama tiga hari bermula 9 hingga 11 Oktober 2025 di Dewan Mu’adzam Shah, UUM.

Penyertaan CeTMA dalam festival tersebut memberi peluang kepada pusat itu untuk menonjolkan pelbagai inisiatif, projek dan hasil penyelidikan yang selari dengan usaha universiti dalam membentuk kampus lestari dan berimpak komuniti.

Antara tarikan utama di reruai CeTMA ialah pameran mengenai Living Campus, inisiatif Changloon Transformation Project (CTP), serta Drive Thru Recycle Centre (DTRC) yang memperlihatkan komitmen UUM terhadap pembangunan mampan dan penglibatan masyarakat setempat.

Selain itu, CeTMA turut memperkenalkan kepada pengunjung tentang fungsi utama jabatan berkenaan serta perkhidmatan yang ditawarkan, termasuk Sustainability Dashboard, projek-projek analisis dan perkhidmatan penilaian data yang dijalankan bagi menyokong penyelidikan dan pembangunan universiti.

Kemuncak penglibatan CeTMA adalah pada 11 Oktober 2025, dengan penganjuran Pertandingan Seni Visual bertemakan “Kedahku 2035: Realiti dan Fantasi”. Pertandingan ini menjadi platform kepada pelajar dan masyarakat untuk menzahirkan kreativiti serta imaginasi mereka terhadap masa depan Kedah yang maju dan lestari.

Pada hari yang sama, Changlun Youth Leadership Club turut mengadakan program “Shine on Stage” yang mengetengahkan bakat-bakat muda di Changlun sebagai sebahagian daripada inisiatif Projek Transformasi Changloon (CTP) dalam memperkasa komuniti setempat.

Penyertaan CeTMA dalam FOI @ Kedah 2025 bukan sahaja memperlihatkan kepakaran pusat itu dalam bidang pengukuran dan penilaian, malah memperkukuh peranan UUM sebagai universiti pengurusan terkemuka yang menyokong inovasi, kelestarian dan pembangunan komuniti secara holistik.

Seramai lima orang staf CeTMA telah bertungkus-lumus menjayakan reruai pameran dan pertandingan seni visual tersebut, dengan sokongan serta kehadiran Pengarah CeTMA, Prof. Madya Dr. Masnita binti Misiran @ Bakun, dan Timbalan Pengarah CeTMA, Prof. Madya Dr. Zahayu Md Yusof. – Tengku Nurul Aimi Balqis Tengku Malim Busu

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button