Fireside Chat bersama Profesor Adjung Kamaludin Ahmad perkukuh hubungan akademia dan industri
Gambar oleh Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB)
SINTOK, 16 Oktober 2025: Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB), Universiti Utara Malaysia (UUM), telah menganjurkan sesi perkongsian dan Fireside Chat bersama Profesor Adjung Kamaludin Ahmad, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Etiqa Insurance & Takaful, pada 16 Oktober lalu.

Program ini menjadi wadah penting dalam memperkukuh hubungan antara dunia akademia dan industri, di samping memperkaya pengalaman pelajar terhadap realiti semasa dunia korporat.
Program dimulakan dengan lawatan Profesor Adjung Kamaludin Ahmad ke kampus UUM bagi meninjau fasiliti pembelajaran dan pengajaran. Seterusnya, program diteruskan dengan sesi perkongsian khas bersama staf akademik SEFB yang diadakan serentak dengan CV Building Workshop untuk pelajar, dikendalikan oleh Encik Andrew Joshua Lazaroo, Pengurus Pengambilan Bakat Etiqa. Beliau berkongsi panduan dan tip menulis CV yang berkesan, teknik menghadapi temu duga serta strategi penjenamaan diri bagi pelajar tahun akhir.

Turut hadir, Naib Canselor Universiti Utara Malaysia, Yang Berbahagia Profesor Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan, yang meluangkan masa dalam sesi makan tengah hari bersama pihak pengurusan universiti.
Pada sebelah petang, berlangsung Sesi Fireside Chat bersama CEO Etiqa di Student Lounge SEFB, yang menjadi acara kemuncak program. Dalam suasana santai namun penuh nilai ilmiah, Profesor Adjung Kamaludin Ahmad berkongsi pengalaman beliau dalam dunia korporat serta memberikan pandangan mengenai cabaran dan peluang dalam sektor kewangan masa kini.

Beliau turut menekankan bahawa pelajar perlu memperkukuh jaringan profesional dan kemahiran komunikasi bagi menghadapi pasaran kerja yang dinamik serta mencabar.
Menurut beliau, pelajar universiti perlu proaktif dan berani membina potensi diri seiring dengan kehendak industri.
“Sebagai graduan masa depan, kita tidak boleh hanya menunggu peluang datang kepada kita. Jadilah individu yang agresif mencari peluang, berani keluar dari zon selesa dan sentiasa mencipta pembaharuan. Apa sahaja yang dilakukan, lakukan dengan bersungguh-sungguh kerana kesungguhan itulah yang membezakan mereka yang berjaya dengan yang hanya mencuba,” ujarnya.
Sesi yang berlangsung selama satu jam itu mendapat sambutan menggalakkan daripada pelajar dan staf SEFB. Para pelajar turut mengambil peluang mengajukan soalan berkaitan arah tuju kerjaya dan peranan graduan dalam memperkukuh daya saing ekonomi negara.
Program berakhir dengan penyampaian cenderamata dan sesi bergambar, diiringi dengan jamuan minum petang.
Penganjuran ini jelas mencerminkan komitmen SEFB dalam memperkukuh jalinan kerjasama strategik bersama tokoh industri, serta menyokong aspirasi UUM sebagai universiti pengurusan terunggul yang melahirkan graduan berketerampilan tinggi, berilmu dan beretika. – Nur Dalila Najwa Mohd Hazlan (Kaunselor Pelatih SEFB)


