Campus

INASIS Tradewinds dan Kolej Meranti UiTM Shah Alam kukuhkan hubungan dan bertukar idea usahawan siswa

Gambar oleh Awfiyah Farhah

SINTOK, 18 Oktober 2025: Jawatankuasa Kepimpinan dan Pembangunan Siswa serta Residen Siswa INASIS Tradewinds telah menganjurkan program TradeXChange: Inspirasi Keusahawanan bersama Kolej Meranti, UiTM Shah Alam bertempat di Dewan Semarak Budi, INASIS Tradewinds.

Program ini diadakan bagi memperkukuh hubungan dua hala antara kedua-dua institusi selain menjadi platform pertukaran idea dan pengalaman dalam pembangunan usahawan mahasiswa.

Sepanjang sesi perkongsian, pihak JKPSRS INASIS Tradewinds memperkenalkan Laman Traders, sebuah ruang keusahawanan siswa yang menghimpunkan vendor pelajar B40 INASIS Tradewinds untuk berniaga di kawasan kolej kediaman tersebut.

Sementara itu, pihak Kolej Meranti membentangkan mengenai M-Point, inisiatif JPK Kolej Meranti yang menawarkan pelbagai perkhidmatan seperti barber, mart dan sewaan PS4, yang menjadi tumpuan utama pelajar UiTM Shah Alam.

Delegasi turut dibawa melawat sekitar kampus UUM termasuk Dewan Mu’adzam Shah (DMAS) dan Varsity Mall.

Menurut Nur Damia Suefea Dzulfakhar, Presiden INASIS Tradewinds, program ini bukan sekadar ruang perkongsian idea, tetapi juga langkah membina semangat kolaborasi antara universiti.

“Kami percaya keusahawanan pelajar bukan sekadar tentang menjual produk, tetapi bagaimana kita membina ekosistem yang menyokong potensi dan daya tahan pelajar. TradeXChange ini menjadi bukti bahawa kolaborasi antara UUM dan UiTM mampu membuka peluang baharu untuk generasi muda,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Hafiz Iskandar, Yang Dipertua Kolej Meranti UiTM Shah Alam, turut menzahirkan rasa terima kasih atas sambutan mesra yang diberikan sepanjang lawatan.

“Kami sangat menghargai peluang untuk bertukar pandangan dan melihat sendiri bagaimana pelajar UUM menggerakkan inisiatif keusahawanan di kolej kediaman. Semoga hubungan ini dapat diteruskan dalam pelbagai bentuk kerjasama selepas ini,” ujarnya.

Program ini turut dihadiri oleh Dr. Firdaus bin Mohamad, Pengetua Kolej Meranti UiTM Shah Alam; Cik Nur Amnazatul Eqmar Amerai Khan Hakiki, Felo INASIS Maybank yang mewakili pihak pentadbiran INASIS Tradewinds; serta Intan Syazlina Mohd Ali, Penasihat Program Idea Exchange: Jelajah Utara UiTM Shah Alam, bersama staf residen dan wakil pengurusan kolej daripada Kolej Meranti UiTM Shah Alam. – Nur Damia Suefea

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button