UUMILC 2025 anjak perbincangan ke arah penginsanan undang-undang dalam era inovasi digital
Berita dan gambar Dr. Hafidz Hakimi Haron
SINTOK, 22 Oktober 2025: 13th International Legal Conference (UUMILC 2025) membuka tirainya dengan penuh berprestij di Kompleks Konvensyen, Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah, dengan mengetengahkan tema “Humanizing the Law: Bridging Ethics and Innovation in Developing a Sustainable Society”.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC), YBhg. Datuk Haji Iskandar Ismail, yang turut menyampaikan ucaptama bertajuk “Ethical Governance and Market Integrity in the Age of Innovation.”
Dalam ucaptama beliau, Datuk Haji Iskandar menekankan bahawa undang-undang dan teknologi mesti berkembang seiring dengan nilai etika dan tanggungjawab sosial.

“Tadbir urus beretika yang berpaksikan kepercayaan, ketelusan dan akauntabiliti adalah asas kepada inovasi yang mampan serta pasaran yang adil dan berdaya saing,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan pentingnya reformasi undang-undang yang lebih tangkas dan berpandangan jauh.
“Kita tidak boleh terus menggunakan peraturan lama untuk menangani masalah baharu seperti peribahasa Melayu kita, sediakan payung sebelum hujan, pencegahan lebih baik daripada rawatan” katanya.

Dalam ucapan yang disampaikan oleh Prof. Dr. Harlida Abdul Wahab, yang mewakili Naib Canselor UUM menekankan bahawa kemajuan undang-undang dan teknologi tidak boleh dipisahkan daripada nilai kemanusiaan dan keadilan.
“Menginsankan undang-undang bermaksud setiap peraturan dan pembaharuan mesti melindungi bukan sahaja ketertiban, tetapi juga keadilan, maruah dan kesejahteraan manusia,” katanya.
Majlis Perasmian turut menyaksikan pelancaran School of Law (SOL) Directory Database, yang merupakan inisiatif digital baharu Pusat Pengajian Undang-undang (SOL), UUM.

Direktori ini menghimpunkan profil akademik, bidang kepakaran, dan penerbitan para pensyarah undang-undang UUM sebagai langkah memperkukuh keterlihatan akademik serta jaringan penyelidikan antara universiti dan industri.
Persidangan dua hari menghimpunkan lebih 120 peserta daripada 13 buah negara dengan 115 kertas kerja dibentangkan. Antara penaja utama ialah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri; Jabatan Peguam Negara; Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC); Coopbank Pertama; dan EXIM Bank Malaysia.
Penganjuran UUMILC 2025 sekali lagi memperkukuh peranan UUM sebagai Universiti Pengurusan terkemuka dalam memperkasa wacana ilmiah global berkaitan undang-undang, etika dan inovasi ke arah pembentukan masyarakat yang mampan dan berperikemanusiaan.



