Education

Kunjungan TISSA-UUM ke DataScience Sdn. Bhd. perkukuh kerjasama akademik dan industri

Gambar TISSA-UUM

KUALA LUMPUR, 28 April 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) menerusi Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA-UUM) telah mengadakan satu kunjungan rasmi ke DataScience Sdn. Bhd. bagi meneroka potensi kerjasama strategik antara institusi akademik dan industri.

Delegasi TISSA-UUM yang diketuai oleh Dekan, Prof. Madya Dr. Raja Haslinda Raja Mohd Ali bersama Timbalan Dekan, Dr. Mohd Hadzrami Harun Rasit serta Pengerusi Program Pascasiswazah, Prof. Madya Dr. Siti Seri Delima Abdul Malak dan Dr. Mohd Hadafi Sahdan telah disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif DataScience, Mahfuzal Othman.

Dr. Raja Haslinda  berkata, perbincangan memfokuskan kepada pembangunan bakat pelajar melalui peluang latihan industri dan program apprentis, selain cadangan penubuhan hab DataScience di kampus TISSA-UUM yang akan berfungsi sebagai pusat pembelajaran dan pembangunan kemahiran.

Selain itu, menurutnya, integrasi sistem Kerisi dalam pengajaran turut dibincangkan bagi memperkayakan pengalaman pembelajaran khususnya dalam bidang perakaunan sektor awam dan sistem maklumat perakaunan.

Dari sudut penyelidikan dan perundingan, kedua-dua pihak melihat potensi kerjasama dalam melibatkan pensyarah sebagai pakar rujuk serta pembangunan kajian berkaitan sistem Kerisi.

“Kolaborasi ini juga merangkumi program komuniti melalui inisiatif tanggungjawab sosial korporat. Secara keseluruhan, kunjungan ini mencerminkan komitmen kedua-dua pihak dalam memperkukuh hubungan akademia-industri ke arah pembangunan modal insan yang berdaya saing,” katanya.

Selain itu, kedua-dua pihak turut menyatakan hasrat untuk memperluaskan jaringan kerjasama melalui program pembangunan profesional dan penawaran pengajian pascasiswazah kepada pihak industri.

Inisiatif ini dijangka dapat meningkatkan kebolehpasaran graduan serta memperkukuhkan pemindahan ilmu dan kepakaran secara berterusan antara universiti dan industri. – Prof. Madya Dr. Siti Seri Delima Abdul Malak

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button