Education

Program USR UUM perkasa pembelajaran aktif di SK Pulau Perhentian

Gambar Pusat Kokurikulum

TERENGGANU, 28 April 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) melalui Pusat Kokurikulum dengan kerjasama Pusat Alumni UUM terus memperluaskan impak sosialnya menerusi penganjuran Program University Social Responsibility (USR) bersama Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Perhentian, Terengganu.

Program ini dilaksanakan selaras dengan agenda Sustainable Development Goals (SDG), khususnya SDG 4 (Quality Education) dan SDG 17 (Partnerships for the Goals), di samping menyokong prinsip Environmental, Social and Governance (ESG) melalui elemen sosial dan tadbir urus yang mampan.

Majlis diserikan dengan kehadiran Pengarah Pusat Kokurikulum UUM, Dr. Za’im Ahmad; Timbalan Pengarah (Aktiviti), Prof. Madya Ts. Dr. Nur Khairiel Anuar; Pengarah Pusat Alumni UUM, Prof. Madya Dr. Lily Julienti Abu Bakar serta Guru Besar Sekolah Kebangsaan Pulau Perhentian, Harizan Mohamad.

Dr. Za’im  berkata, sepanjang program berlangsung, murid-murid didedahkan dengan aktiviti pendidikan berasaskan pembelajaran aktif seperti Checkpoint Explorace bahasa Inggeris dan matematik.

Menurutnya, pendekatan ini bukan sahaja menjadikan proses pembelajaran lebih interaktif dan menyeronokkan, malah berjaya meningkatkan kemahiran komunikasi, pemikiran kritis dan kreatif serta memupuk nilai kepimpinan dan semangat kerjasama dalam kalangan murid.

Program ini memberi manfaat besar kepada murid sekolah apabila mereka berpeluang mengalami kaedah pembelajaran yang berbeza daripada bilik darjah konvensional, sekali gus meningkatkan keyakinan diri dan minat terhadap pembelajaran. Dalam masa yang sama, penglibatan pelajar UUM sebagai fasilitator memberi ruang kepada mereka untuk mengaplikasikan pengetahuan teori dalam situasi sebenar, di samping memperkukuh kemahiran insaniah seperti kepimpinan, komunikasi berkesan, kerja berpasukan serta empati terhadap komuniti.

Secara keseluruhannya, program ini berjaya mencapai objektif dalam memperkukuhkan kemahiran insaniah, meningkatkan pencapaian akademik murid serta merapatkan hubungan strategik antara universiti dan komuniti setempat.

Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan UUM dalam menyokong agenda SDG dan ESG, serta diharap dapat diteruskan sebagai usaha berimpak tinggi dalam melahirkan generasi berilmu, berdaya saing dan berkeperibadian unggul selaras dengan aspirasi pembangunan pendidikan negara.

Turut hadir ialah barisan staf Pusat Kokurikulum dan Pusat Alumni UUM. Program ini digerakkan sepenuhnya oleh fasilitator dalam kalangan pelajar UUM yang dikenali sebagai KoK Clique. – Muhammad Zikri A. Sohor

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button