Education

43 pelajar SEFB sertai lawatan industri perkasa pembelajaran berasaskan pengalaman

Berita dan gambar Dr. Wan Roshidah Fadzim

KULIM, 28 April 2026: Seramai 43 pelajar dari Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menyertai Program Lawatan Industri: Pembelajaran Berasaskan Pengalaman ke First Grade Resources Sdn. Bhd. di Kulim, baru-baru ini.

Lawatan ini diiringi oleh Timbalan Dekan HEPA, SEFB, Dr. Edie Erman Che Johari dan Penyelaras Kursus BEEIK3053 Organisasi Industri, Dr. Wan Roshidah Fadzim.

Dr. Edie Erman berkata, lawatan ini bertujuan untuk memberikan pendedahan secara langsung kepada pelajar mengenai operasi sebenar industri selaras dengan pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman.

Menurutnya, lawatan ini memberi peluang kepada pelajar memahami secara langsung tentang aspek penting dalam dunia perniagaan seperti struktur pasaran, strategi syarikat, rantaian nilai serta pematuhan terhadap standard industri.

“First Grade Resources Sdn. Bhd., merupakan sebuah syarikat OEM yang beroperasi sejak 2008 dan sesuai selari dengan kepakaran syarikat dalam pengeluaran produk makanan, minuman kesihatan, kosmetik dan nutraseutikal,” katanya.

Sepanjang lawatan, pelajar berpeluang berinteraksi secara langsung dengan pihak pengurusan dan tenaga kerja industri melalui sesi taklimat serta perbincangan. Ini secara tidak langsung membantu pelajar memperkukuhkan pengetahuan tentang teori yang dipelajari di dalam bilik kuliah dengan situasi sebenar dalam industri.

Secara keseluruhannya, program ini berjaya memberikan pengalaman pembelajaran dunia sebenar kepada pelajar di samping dapat  meningkatkan kefahaman mereka terhadap cabaran dan keperluan industri masa kini.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button