Campus

Pesta Buku Utara 2026 perkukuh budaya ilmu dan ekosistem penerbitan

Gambar Muhammad Shamsul Shafie

SINTOK, 28 April 2026: Penganjuran Pesta Buku Utara (PBU) 2026 yang bermula sejak 25 April lalu selama lima hari dapat memperkukuhkan budaya membaca dan memperkasakan ekosistem penerbitan ilmiah melalui penglibatan pelbagai Institusi Pendidikan Tinggi (IPT), agensi kerajaan dan syarikat penerbitan.

Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed berkata, objektif utama PBU 2026 diadakan supaya menjadi pemangkin kepada budaya membaca dan menjadi hab intelektual yang dinamik kepada warga kampus dan komuniti setempat.

“Tahun ini tema “Warisan Ilmu Menyulam Peradaban” dipilih sebagai merujuk kepada khazanah pengetahuan yang telah diperturunkan dari generasi ke generasi yang menjadi sumber rujukan masyarakat hari ini. Ilmu pula bertujuan memperkaya dan digunakan untuk memperhalusi tamadun manusia menjadi lebih baik.

“Melalui PBU 2026, ia menjadi akses kepada pelbagai bahan bacaan selain menjadi ruang interaksi antara penulis, penerbit dan pembaca,” kata Naib Canselor dalam ucapan perasmian yang dibacakan oleh Penolong Naib Canselor UUM CAS, Prof. Ts. Dr. Osman Ghazali di Foyer Perpustakaan Sultanah Bahiyah, semalam.

PBU 2026 anjuran UUM Press ini disertai lebih 40 pempamer terdiri daripada penerbit IPT awam dan swasta bagi mempromosi produk penerbitan ilmiah masing-masing.

Ia juga menjadi platform kepada IPTA dan IPTS memperkenalkan hasil penyelidikan, penulisan akademik dan karya ilmiah kepada khalayak yang lebih luas.

“Dalam konteks ini, kita amat menghargai usaha para penerbit yang terus komited dalam memperkasa dunia penerbitan ilmiah, walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran termasuk perubahan teknologi dan corak pembacaan masyarakat,” katanya.

Oleh itu, semua pihak diminta agar terus menyokong usaha-usaha seperti ini dalam usaha menjadikan budaya membaca sebagai amalan harian dan bukan sekadar aktiviti bermusim kerana masyarakat yang membaca adalah masyarakat yang berfikir dan masyarakat yang berfikir adalah masyarakat yang mampu mencipta masa depan yang lebih gemilang.

Penganjuran PBU 2026 kali ke-11 di pekarangan Perpustakaan Sultanah Bahiyah ini membuktikan komitmen berterusan UUM dalam memartabatkan budaya ilmu dan memperkukuh ekosistem penerbitan negara.

Sementara itu, Timbalan Pengarah UUM Press, Azizan Ismail @ Ariffin menzahirkan penghargaan terhadap kerjasama erat bersama Perpustakaan Sultanah Bahiyah yang disifatkan sebagai pusat ilmu yang menyokong perkembangan intelektual warga universiti.

Menurutnya, UUM Press kekal komited dalam memperkasa penerbitan ilmiah melalui penerbitan pelbagai judul buku dalam bidang akademik, sekali gus memperkukuh khazanah ilmu negara.

“Pesta Buku Utara merupakan usaha berterusan dalam menyemarakkan budaya membaca khususnya dalam kalangan masyarakat di utara tanah air.

“Sehubungan itu, graduan, warga UUM, ibu bapa serta masyarakat setempat disaran agar mengambil peluang sepenuhnya daripada penganjuran pesta buku ini bagi mendapatkan bahan bacaan,” katanya.

Bersempena PBU 2026 juga, turut berlangsung adalah majlis pelancaran 10 judul baharu terbitan UUM Press serta Pameran Keris: Seni, Teknologi & Identiti di Muzium Pengurusan UUM, sebelum diteruskan dengan penyampaian Anugerah Pengguna Perpustakaan Sultanah Bahiyah 2025, penyerahan sijil penghargaan kepada penyumbang bahan pameran serta penyampaian hadiah Clue Quest Info Hunt anjuran PSB Buddies. – Noor Zafiera Ahmad Idris (Pelajar Pelatih Politeknik METrO Tasek Gelugor)

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button