General

Lawatan MOF perkukuh jalinan industri dan komuniti melalui Projek PEKA 2

Gambar CUIC

CHANGLUN, 28 Oktober 2025: Usaha memperkasa komuniti melalui inovasi pertanian moden terus diperkukuhkan apabila Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) mengadakan lawatan tapak dan Sesi Jalinan Industri ke Projek Pendayaan Komuniti@UniMADANI: Pembangunan Ekonomi Komuniti Akuaponik 2 (PEKA 2) yang dilaksanakan oleh Pusat Kerjasama Universiti–Industri dan Komuniti (CUIC), Universiti Utara Malaysia (UUM) di sekitar Changlun dan Kubang Pasu.

Pengarah CUIC, Prof. Dr. Chandrakantan Subramaniam berkata, lawatan ini memberi peluang kepada MOF meninjau kemajuan, pencapaian dan impak projek komuniti yang dibiayai di bawah inisiatif UniMADANI.

Menurutnya, program ini turut menjadi platform interaksi antara penyelidik, komuniti dan pihak industri dalam memperkukuh sinergi pembangunan komuniti berasaskan pengetahuan dan teknologi.

Projek PEKA 2 menerima pembiayaan sebanyak RM200,000 daripada MOF di bawah geran UniMADANI, melibatkan 28 peserta komuniti daripada golongan B40 dan merupakan kesinambungan kejayaan PEKA 1, yang sebelum ini membangunkan 30 peserta komuniti melalui pendekatan pertanian akuaponik moden.

Delegasi MOF diketuai oleh Ketua Penolong Setiausaha MOF, Shariffah Rugaiyah Syed Hussian,  bersama Penolong Setiausaha MOF, Noor Aishah Hambali. Turut hadir Ketua Penyelidik Projek PEKA 2, Prof. Madya Ts. Dr. Mohamad Farizal Rajemi, bersama pasukan penyelidik dan peserta komuniti.

Sepanjang lawatan, delegasi diberi taklimat mengenai operasi sistem akuaponik, diikuti sesi libat urus bersama peserta komuniti serta perbincangan hala tuju kerjasama antara UUM, MOF, dan komuniti.

Dr. Mohamad Farizal berkata, selain meninjau pelaksanaan PEKA 2, delegasi turut dibawa melawat tapak PEKA 1 bagi menilai kelestarian projek terdahulu yang masih berfungsi dalam meningkatkan ekonomi komuniti walaupun tempoh pembiayaan telah berakhir.

Lawatan ini turut membuka ruang kepada UUM dan MOF untuk meneroka potensi kolaborasi strategik dengan industri tempatan dalam bidang penyelidikan, latihan teknikal dan pembangunan rantaian nilai pertanian moden, sekali gus membuktikan komitmen bersama dalam memperkukuh ekosistem akademia–industri–komuniti ke arah pembangunan sosioekonomi yang lestari, inklusif dan berasaskan inovasi.

Selain PEKA 2, UUM turut melaksanakan dua lagi projek di bawah UniMADANI, iaitu Projek Tanaman Cendawan dan Projek Pertanian Sayuran Vertikal, yang masing-masing menyasarkan peningkatan kemahiran, produktiviti dan pendapatan komuniti luar bandar melalui penerapan teknologi pertanian moden. – Noor Farishah Abdul Radzak

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button