General

Pusat Zakat dan Wakaf UUM sumbang 20 unit kipas wakaf untuk surau sempena minggu wakaf 2025

Gambar oleh Nur Syahirah Sahabudin

SINTOK, 21–25 September 2025: Sempena Minggu Wakaf Universiti Utara Malaysia (UUM) yang berlangsung dari 21 hingga 25 September 2025, Pusat Zakat dan Wakaf UUM telah menyerahkan sebanyak 20 unit kipas wakaf kepada 10 pusat pengajian dan jabatan terpilih di universiti ini bagi kegunaan surau-surau di sekitar kampus.

Sumbangan tersebut bertujuan menambah baik kemudahan dan keselesaan jemaah di surau, di samping memperkukuh budaya wakaf sebagai salah satu instrumen pembangunan berteraskan kebajikan dalam komuniti universiti.

Majlis penyerahan simbolik telah disempurnakan oleh Pengarah Pusat Zakat dan Wakaf, Dr. Mohamad Zulkurnai bin Ghazali.

Beliau menegaskan bahawa program ini mencerminkan komitmen universiti dalam memperkasa amalan wakaf dalam kalangan warga kampus.

“Sumbangan kipas wakaf ini bukan sahaja memenuhi keperluan asas surau, malah menjadi simbol penyatuan dan semangat memberi dalam kalangan warga UUM. Melalui amalan wakaf, kita dapat membina budaya prihatin dan berkongsi manfaat bersama,” ujar beliau.

Beliau turut menggalakkan semua staf untuk menjadikan amalan berwakaf melalui potongan gaji serendah RM10 sebulan, iaitu bersamaan RM0.33 sahaja sehari, yang boleh dibuat melalui portal UUM.

Staf juga boleh memilih untuk menyumbang ke Tabung Dana Wakaf UUM dengan cara mengimbas kod QR sama ada bagi tujuan pelepasan cukai atau tanpa pelepasan cukai.

Selain itu, pameran wakaf pendidikan dan kempen sumbangan wakaf dalam talian turut diadakan bagi meningkatkan kefahaman dan penglibatan komuniti universiti terhadap peranan wakaf dalam pembangunan institusi pendidikan.

Pusat Zakat dan Wakaf UUM berhasrat untuk meneruskan program ini dari semasa ke semasa agar warga kampus mendapat manfaat yang sewajarnya. – Hasniza Norsazali

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button