Jabatan Perikanan dan UUM meterai MoU kukuhkan kolaborasi dalam sektor Perikanan
Gambar oleh Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML)
Kualam Muda, Kedah, 1 November 2025 – Kerjasama strategik antara sektor akademia dan agensi kerajaan terus diperkukuh apabila Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) dan Universiti Utara Malaysia (UUM) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) sempena Majlis Perasmian Program Hari Perikanan 2025 yang berlangsung di Pavilion Utama.
MoU tersebut dimeterai bagi memperkukuh kolaborasi dalam bidang penyelidikan, inovasi, latihan serta pembangunan industri akuakultur dan perikanan negara.

Selain itu turut mengiktiraf peranan Jabatan Perikanan sebagai penyumbang dana utama kepada program Operational Excellence (OPEX) di Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML), UUM sejak sekian lama.
Majlis perasmian disempurnakan Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan), Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Dato’ Luqman Ahmad.

Antara pengisian menarik sepanjang majlis termasuk penyampaian sijil myGAP kepada pengusaha akuakultur Zon Utara, pelancaran inovasi SirehMAX dan myFirst Go Live, serta penyerahan Cek Cura Sistem Penyampaian dan Khidmat Sokongan Akuakultur (SPeKS) dan Agropelancongan.
Program turut diserikan dengan persembahan seni silat, sesi bergambar, serta lawatan ke reruai pameran, jualan dan aktiviti, sebelum diakhiri dengan sesi sidang media bersama pihak penganjur.

Program Hari Perikanan 2025 dianjurkan oleh Jabatan Perikanan Malaysia dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan serta sokongan Malaysia Madani, bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan sektor perikanan dalam menjamin keselamatan makanan negara.
Turut hadir, Ketua Pengarah Perikanan Malaysia, Dato’ Haji Adnan bin Hussain dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Pengangkutan Negeri Kedah, Tuan Haji Dzowahir bin Haji Ab. Ghani, para pegawai UUM.


