Campus

ISF2025 himpun penggerak kewangan sosial islam

Gambar oleh Noor Fatin Shahirah

SINTOK, 29 Oktober 2025: Simposium Antarabangsa Kewangan Sosial Islam (ISF2025) kali ke-2 telah dianjurkan oleh Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), Universiti Utara Malaysia (UUM) pada 28 hingga 29 Oktober 2025 bertempat di EDC Hotels & Resorts.

Program ini dilaksanakan secara hibrid (fizikal dan dalam talian) dengan tema “Kesejahteraan Sosial melalui Integrasi Kewangan Islam dan Pembangunan Komuniti”.

Simposium ini berjaya menghimpunkan seramai 150 peserta yang terdiri daripada golongan akademik, usahawan, pelajar dan asnaf dari Malaysia, Uzbekistan, Pakistan, Brunei, Indonesia serta Thailand bagi meneroka potensi kewangan sosial Islam dalam pembangunan komuniti.

ISF2025 telah dirasmikan oleh Naib Canselor UUM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan, yang teks ucapannya dibacakan oleh Dekan IBS, Prof. Dr. Selamah Maamor. Dalam ucapannya, Naib Canselor menekankan kepentingan kewangan sosial serta peranan universiti dan industri dalam memastikan keberkesanan impak kewangan sosial terhadap masyarakat.

Simposium ini turut menampilkan ucaptama daripada enam penceramah jemputan iaitu Dafinah Ahmed Hilmi (Ketua Pegawai Eksekutif Hong Leong Islamic Bank), Prof. Dr. Selamah Maamor (Dekan IBS, UUM), Suhaidi Saad (Ketua Pegawai Agihan, Lembaga Zakat Negeri Kedah) dan Hj. Rashid Chema (Pengerusi Koperasi Ibn Affan Thailand) yang berkongsi pandangan dan pengalaman dalam bidang masing-masing.

Selain itu, turut diadakan sesi dialog antarabangsa, pameran poster serta empat sesi pembentangan selari yang dijalankan secara fizikal dan dalam talian. Penampilan istimewa oleh dua personaliti terkenal, Firdaus Firabib dan Ieza Yusof @ Mak Jerung, turut mencuri tumpuan dengan perkongsian pengalaman mereka dalam bidang perniagaan dan kewangan sosial.

Simposium ini turut mendapat tajaan daripada Dana Sosial Takaful UUM, Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), Hong Leong Islamic Bank, Co-opbank Pertama, dan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM). – Dr. Noraziah Che Arshad

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button