Bengkel pengkaryaan karya kreatif perkasa bakat pelajar UUM
Gambar oleh Nur Aqilah Huda binti Abdul Jamal
SINTOK, 3 November 2025 – Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan Bengkel Pengkaryaan Karya Kreatif Pelajar bertempat di Bilik Mesyuarat Zamrud, SLCP.
Bengkel yang dilaksanakan di bawah program Sarjana Muda Kesusasteraan Kontemporari dan Pengurusan Industri Kreatif dengan kerjasama Pertubuhan Sanggar Warisan Budaya Melayu Kedah (SWADAYA) memberi tumpuan kepada penulisan cerpen dan sajak.
 
Seramai 29 orang pelajar kohort kelima daripada kursus SBLSK2023 Proses Pengkaryaan Karya Kreatif serta beberapa orang ahli akademik telah menyertai bengkel berkenaan.
Program ini menampilkan Saudara Hasan Baseri Budiman, tokoh sastera tanah air yang banyak menghasilkan karya kreatif, khususnya cerpen dan novel. Dalam bengkel tersebut, beliau berkongsi pengalaman dan teknik penulisan karya kreatif selain memberikan panduan berguna kepada penulis pemula.
Dalam perkongsiannya, Saudara Hasan Baseri menegaskan bahawa karya kreatif tidak hanya lahir daripada bakat, tetapi perlu dibina melalui latihan, pengalaman dan daya inovasi.
 
“Kreativiti bukan sekadar menghasilkan karya yang indah, tetapi keberanian untuk menulis daripada pengalaman sendiri dengan cara yang segar dan jujur,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa penulisan sastera tidak dapat diajar secara mutlak dan penulis perlu membina kreativiti masing-masing melalui penguasaan unsur intrinsik seperti tema, watak, konflik dan gaya bahasa. Menurutnya lagi, kepanjangan ideal bagi sesebuah cerpen ialah sekitar 500 hingga 6,000 patah perkataan, dan terdapat perbezaan antara catatan dengan anekdot.
Bengkel ini bertujuan mengasah bakat pelajar dalam bidang penulisan kreatif serta memperkukuh hubungan antara dunia akademik dengan ranah industri kreatif tanah air. – Nur Aqilah Huda binti Abdul Jamal
				
					


