Gilap Karisma Pemimpin Muda: 80 Pelajar Asasi Teroka Cabaran di Pendang Lake Resort!
Gambar oleh Dania Nurfaghira Ahmad Nizan, Husna R. Badlishah & Ilyas Nik Umak
PENDANG, KEDAH, 26 Oktober 2025 – Seramai 80 pelajar Program Asasi Pengurusan Sesi 2025/2026 telah terpilih menyertai Kem Kepimpinan Asasi Pengurusan yang berlangsung selama tiga hari bermula 24 hingga 26 Oktober lalu bertempat di Pendang Lake Resort, Kedah.
Menurut Pengarah Pusat Asasi Pengurusan (PAP), Prof. Dr. Muhammad Fuad Othman, kem kepimpinan ini merupakan antara program berimpak tinggi yang dianjurkan oleh PAP pada setiap sesi pengajian pelajar baharu.
 
Beliau berkata, penganjuran program tersebut bertujuan untuk menerapkan nilai kepemimpinan unggul dalam kalangan pelajar yang bakal menerajui Persatuan Pelajar Asasi Pengurusan (PAP).
“Kem ini bukan sahaja memberi pengalaman dan pendedahan yang bermakna kepada peserta, malah turut memperkukuh ilmu serta kemahiran insaniah yang amat penting untuk kehidupan seharian,” katanya.
Selain itu, program ini turut membantu meningkatkan keyakinan diri dan kesiapsiagaan pelajar dalam menghadapi cabaran masa hadapan.
 
Sepanjang program berlangsung, peserta terlibat dalam pelbagai aktiviti berbentuk latihan, motivasi dan kerohanian yang disusun bagi memperkukuh semangat berpasukan dan daya kepimpinan.
Antara pengisian menarik ialah Latihan Dalam Kumpulan (LDK), sesi motivasi bersama penceramah jemputan Farhaan Rahmat, aktiviti Burung Hantu, Tarantula Challenge, serta slot kerohanian.
Program ini turut menekankan aspek ketahanan mental dan fizikal di samping menerapkan nilai-nilai keagamaan, jati diri dan semangat patriotisme bagi membentuk pelajar yang berdisiplin serta berintegriti tinggi.
Majlis penutupan kem disempurnakan oleh Timbalan Pengarah (Akademik) PAP, Puan Masanita Mat Noh, serta Timbalan Pengarah (Pembangunan Pelajar) PAP, Encik Mohd Idzwan Yacob.
Kem Kepimpinan Asasi Pengurusan ini diharap dapat menjadi platform terbaik dalam melahirkan pemimpin pelajar yang berwibawa, bertanggungjawab dan berakhlak mulia. – Anis Athirah Aisyah Ahmad
				
					


