Campus

UUM Perkasa Terapi Seni Forensik dalam Kaunseling Penagihan, sokong transformasi pemulihan dadah Nasional

Berita dan Gambar oleh Dr. Azizah Abdullah

ALOR SETAR, 2 November 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) melalui UUM LEADS terus memperkukuh peranannya sebagai pemacu kecemerlangan pembangunan sumber manusia sektor awam apabila melaksanakan program Forensic Art Therapy (FAT) bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Kementerian Dalam Negeri (KDN), di Hotel Grand Alora, Alor Setar, baru-baru ini.

Kursus intensif selama tiga hari ini menghimpunkan pegawai pemulihan dadah dari seluruh Malaysia dengan objektif memperkasa kemahiran intervensi, penilaian bukan lisan dan strategi pemulihan klien ketagihan bahan melalui kaedah FAT – pendekatan ilmiah yang menggabungkan seni, psikologi dan metodologi forensik bagi menyokong pemulihan holistik dan berfasa.

Pelaksanaan ini selari dengan Agenda Transformasi Pemulihan Dadah Negara, aspirasi Malaysia MADANI, serta hala tuju AADK dalam memperkukuh keberkesanan rawatan, mencegah relaps, dan memperkasa kembali individu pulih dalam komuniti.

Pendekatan FAT memberi fokus kepada aspek trauma, ekspresi kendiri dan kesejahteraan emosi – komponen kritikal dalam meningkatkan kejayaan pemulihan jangka panjang.

Program ini dikendalikan oleh Dr. Azizah Abdullah, Pensyarah Kanan UUM dan pengasas Terapi Seni Forensik Malaysia, berbekalkan hasil penyelidikan saintifik serta  bimbingan langsung daripada tokoh global, Prof. Dr. David Gussak dari Florida State University, Amerika Syarikat. Prof. Gussak merupakan pelopor FAT global serta pakar rujukan mahkamah dalam aplikasi seni forensik bagi kes-kes penagihan, banduan di penjara dan psikologi forensik.

Menurut Dr Azizah, program inovasi seperti FAT ini menyokong KDN dan AADK melaksanakan pendekatan pemulihan secara kontemporari, berasaskan bukti dan sejajar dengan tuntutan semasa pemulihan ketagihan negara. Beliau menegaskan bahawa pengukuhan kemahiran FAT merupakan langkah penting bagi mempertingkat keberkesanan sistem intervensi, serta melahirkan barisan pegawai AADK yang celik trauma, empati, responsif dan berkemahiran tinggi dalam menangani klien berisiko.

Manakala, Prof. Madya Dr. Mohd Sobri Don @ A. Wahab, Pengurus Besar UUM LEADS menyatakan UUM LEADS berfungsi sebagai jambatan kepakaran akademik kepada kerajaan dalam agenda transformasi sosial.

Penilaian pasca latihan menunjukkan peningkatan ketara dalam kemampuan peserta memahami dan melaksanakan teknik FAT, termasuk kemahiran memahami simbol dan imej, mengaplikasi aktiviti seni bagi pencegahan relaps, serta mendokumentasi perubahan emosi dan tingkah laku klien. Peserta juga lebih yakin mengintegrasikan FAT dalam sesi kaunseling sedia ada dan program after-care.

Peserta turut mencadangkan supaya FAT dijadikan modul asas latihan wajib pegawai AADK bagi memastikan keseragaman kompetensi di peringkat nasional. Cadangan tersebut mencerminkan potensi FAT sebagai komponen penting dalam pemerkasaan sistem pemulihan dadah negara.

Pelaksanaan kursus ini mengesahkan komitmen UUM untuk terus menjadi peneraju pemindahan ilmu dan latihan kepimpinan sektor awam, seiring aspirasi negara ke arah sistem pemulihan dadah yang lebih manusiawi, berkesan dan mampan.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button