UUM terserlah di ranking ke-65 terbaik Asia 2026
Gambar Jabatan Komunikasi Korporat (JKK)
SINTOK, 4 November 2025 – Universiti Utara Malaysia (UUM) melonjak menjadi universiti ke-65 terbaik di Asia setelah naik 43 anak tangga dalam tempoh empat tahun (2023–2026).
Peningkatan yang drastik dan komprehensif ini diumumkan oleh QS World University Rankings: Asia 2026, sekali gus mencatatkan pencapaian terbaik UUM sejak penubuhannya pada tahun 1984.

Momentum peningkatan selama empat tahun berturut-turut — bermula di kedudukan ke-108 (2023), ke-101 (2024) dan ke-79 (2025) — merupakan hasil pelaksanaan strategi universiti dalam memperkukuh reputasi akademik, kebolehpasaran graduan dan jaringan penyelidikan antarabangsa.
Naib Canselor UUM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan, berkata pencapaian ini mencerminkan iltizam seluruh warga universiti untuk menjadikan UUM sebagai institusi pengurusan terkemuka negara yang berdaya saing di peringkat global.
“Kedudukan ke-65 ini bukan sekadar angka dalam penarafan, tetapi lambang kepada usaha gigih dan komitmen berterusan seluruh warga UUM untuk mengekalkan kecemerlangan dalam akademik, penyelidikan dan pembangunan pelajar.
Kita tidak sekadar mengejar kedudukan, tetapi membina kepercayaan terhadap kualiti, integriti dan sumbangan ilmu yang kita bawa kepada masyarakat,” katanya.
Keputusan yang diumumkan QS World University Rankings: Asia hari ini menggunakan 11 indikator penilaian utama, iaitu academic reputation, employer reputation, faculty-student ratio, staff with PhD, papers per faculty, international research network, citations per paper, international faculty, international students, inbound exchange students dan outbound exchange students.
Menurut Dr. Mohd Foad, reputasi akademik UUM menjadi pemacu utama kejayaan kali ini.
“Penglibatan aktif ahli akademik dalam penyelidikan kolaboratif antarabangsa, penerbitan berimpak tinggi serta keterlibatan dalam jaringan akademik global menjadikan UUM semakin dikenali dan dihormati di rantau Asia,” ujarnya.
Pada masa sama, katanya, reputasi UUM dalam kalangan majikan turut meningkat apabila graduannya semakin mendapat perhatian di pasaran kerja berikutan kemahiran profesional, etika kerja dan nilai kepimpinan yang diterapkan melalui pengalaman pembelajaran holistik.
Kejayaan ini sekali gus memperkukuh kedudukan UUM sebagai universiti pengurusan utama negara yang semakin menyerlah di rantau Asia, selaras dengan aspirasinya untuk menjadi peneraju pendidikan berimpak global. – Nur Liyana Noor Ismadee



