Seminar Kepimpinan UUM bina pemimpin adaptif, yakin dan berorientasikan matlamat
Berita dan Gambar oleh Unit Pembangunan Bakat, JSM
SINTOK, 27 Oktober 2025 – Dalam usaha memperkukuh keupayaan kepimpinan dan kecekapan pentadbiran dalam kalangan pegawai kanan Universiti Utara Malaysia (UUM), Bahagian Pembangunan Sumber Manusia (BPSM), Jabatan Sumber Manusia telah menganjurkan Seminar Kepimpinan bertemakan “Leading Forward: Adaptive, Confident and Purpose-Driven Leadership” bertempat di EDC-UUM.
Seminar ini diadakan bersempena Program International Faculty Exchange (IFEX@UUM 2025) anjuran Centre for International Affairs and Cooperation (CIAC) dengan kerjasama Jabatan Sumber Manusia (JSM).

Program IFEX@UUM 2025 merupakan penganjuran kali ketiga, namun tahun 2025 menyaksikan penganjuran julung kali seminar kepimpinan khusus kepada pegawai P&P UUM yang turut melibatkan penyertaan pensyarah pelawat antarabangsa.
Seminar sehari ini menghimpunkan barisan pegawai P&P universiti bagi memperkukuh kemahiran kepimpinan berteraskan nilai empati, kecerdasan emosi, keupayaan menyesuaikan diri terhadap perubahan serta kebijaksanaan membuat keputusan dalam situasi mencabar.

Tiga slot utama telah dijalankan sepanjang seminar, iaitu:
- Personal & Professional Development: Emotional Intelligence in Administration – Leading with Empathy
- Adaptive Leadership for Higher Education Administrators
- Decision Making Under Pressure: Tools for Effective Leaders
Menurut Pendaftar UUM, Ahmad Rasidi Abdullah, penganjuran seminar ini amat signifikan dalam memperkukuh keupayaan kepimpinan universiti yang berdepan cabaran dinamik dunia pendidikan tinggi masa kini.
“Dalam menghadapi perubahan yang pantas dan kompleks, pentadbir universiti perlu memiliki daya kepimpinan adaptif — bukan sahaja cekap dalam pengurusan, tetapi juga berupaya memahami, menyesuaikan diri dan memimpin dengan nilai kemanusiaan.

“Kepimpinan yang berkesan berakar daripada empati, refleksi kendiri dan kebijaksanaan membuat keputusan. Seminar ini menjadi platform penting untuk memperkukuh kemahiran tersebut dalam kalangan warga pentadbiran UUM,” katanya.
Sementara itu, Ketua Bahagian Pembangunan Sumber Manusia, Kartini Tajul Urus berkata seminar ini merupakan sebahagian daripada agenda pembangunan bakat universiti yang menekankan kepimpinan berasaskan nilai, keanjalan dan kecekapan membuat keputusan dalam persekitaran kerja yang kompleks.
“Kami ingin melahirkan pemimpin pentadbiran yang bukan sahaja berwibawa, tetapi juga berjiwa besar dan berupaya memimpin dengan empati serta kesedaran terhadap perubahan,” jelas beliau.

“Program ini bukan sahaja memperluas jaringan akademik antarabangsa, tetapi juga memperkaya pengalaman pembelajaran warga UUM melalui pertukaran perspektif global dalam konteks kepimpinan dan pentadbiran,” ujarnya.
Antara penceramah jemputan yang turut berkongsi pandangan termasuk Dr. Ashu, yang membincangkan topik “Emotional Intelligence in Administration: Leading with Empathy”, diikuti dengan sesi mengenai kepimpinan adaptif dan pembuatan keputusan di bawah tekanan.
Peserta turut diseru agar terus memperkukuh amalan kepimpinan yang berteraskan integriti, keyakinan dan semangat berpasukan dalam melaksanakan tanggungjawab di universiti. Seminar ini bukan penutup kepada proses pembelajaran, tetapi langkah ke hadapan dalam membina budaya kepimpinan yang berterusan.



