Zurich Takaful Padawan semakin menjadi pilihan pelajar tahun akhir
Berita dan gambar oleh Anis Zulaikha Kamal
SINTOK, 31 Oktober 2025 – Program Onboarding Zurich Takaful Padawan 5.0 telah dianjurkan bagi memperkenalkan peserta baharu kepada objektif dan pelaksanaan program Padawan yang dijalankan melalui kerjasama antara Pusat Pembangunan Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan (PPKKG), Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Zurich Takaful Malaysia.
Program dibawah insiatif School of Hard Knocks (SoHK) ini menjadi platform penting dalam memberi pendedahan awal mengenai struktur pelaksanaan, modul pembelajaran, serta peranan yang bakal digalas oleh peserta sepanjang program.

Sesi ini bertujuan memberi gambaran menyeluruh mengenai aliran pelaksanaan program Padawan, termasuk struktur, objektif, serta modul pembelajaran yang akan dilalui oleh peserta sepanjang tempoh program. Antara modul utama yang diperkenalkan ialah pengenalan industri takaful, kemahiran komunikasi, asas pemasaran kewangan dan pengurusan pelanggan, serta pembangunan sahsiah dan kepimpinan diri.
Menariknya, sesi onboarding turut menampilkan sesi perkenalan antara pelajar dan wakil Zurich Takaful yang membuka ruang interaksi dua hala dalam suasana santai dan mesra.

Sesi ini bukan sahaja mengeratkan hubungan antara pelajar dan pihak industri, tetapi juga memberi peluang kepada pelajar untuk memahami budaya kerja, nilai korporat, serta harapan yang digariskan oleh Zurich Takaful terhadap peserta program Zurich Takaful Padawan 5.0.
Melalui sesi onboarding ini, semua peserta Padawan 5.0 diharap dapat memanfaatkan peluang sepenuhnya untuk membina jaringan profesional, meningkatkan potensi diri, dan melangkah dengan yakin dalam dunia kerjaya takaful yang dinamik dan mencabar.



