General

UUM sapu bersih tiga tempat teratas Pertandingan Pidato Piala SUK Kedah

Berita dan gambar Ahmad Hidayat Mohd Masir

ALOR SETAR, 6 November 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) terus mengharumkan nama universiti apabila tiga wakilnya mengungguli Pertandingan Akhir Pidato Piala YB Dato’ Seri Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman, dengan menawan ketiga-tiga tempat teratas dalam pertandingan berprestij itu.

Pertandingan yang julung kali dianjurkan oleh Bahagian Sumber Manusia, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah ini berlangsung di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Kedah (JKKN) dengan tema Penjawat Awam Inovatif dan Responsif: Dalam Era Digitalisasi”.

Kemenangan penuh bergaya ini menyaksikan Pensyarah dari Pusat Pengajian Pendidikan (SOE), Dr. Muhammad Asyraf Abdul Rahman, dinobatkan sebagai Johan, diikuti M. Shahadat Ali Nordin, Penolong Pendaftar dari Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan (SCIMPA) di tempat kedua, manakala Penolong Pendaftar, Azam Arni Mohd Noor, dari Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM), meraih tempat ketiga.

Ketiga-tiga peserta UUM ini bukan sahaja menyerlah dalam seni pidato, tetapi turut memperlihatkan kecerdasan intelektual, kemahiran komunikasi berkesan dan keyakinan diri yang tinggi, selaras dengan imej UUM sebagai universiti pengurusan terkemuka yang melahirkan penjawat awam berwibawa.

Pemenang johan membawa pulang piala pusingan, trofi, wang tunai RM800 dan sijil penghargaan, manakala tempat kedua menerima trofi, wang tunai RM600 dan sijil penghargaan, serta tempat ketiga menerima trofi, wang tunai RM400 dan sijil penghargaan.

Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Seri Norizan Khazali.

Turut hadir ialah Penasihat Undang-Undang Negeri Kedah, Saifulrijal Azhari; Pegawai Kewangan Negeri Kedah, Dato’ Syed Khairol Anuar Syed Abidin; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah (Pembangunan), Dato’ Mohd Fauzi Mustaffa; dan Setiausaha Bahagian Sumber Manusia, Sharhida Nazuha Saad.

UUM terus komited dalam melahirkan penjawat awam dan tenaga akademik yang petah berbicara, matang berhujah, berintegriti tinggi dan berwibawa memimpin, seiring dengan visinya sebagai universiti pengurusan terkemuka yang membina insan berilmu dan berpandangan jauh.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button