Raja Muda Kedah Anugerah Sarjana Muda kepada Graduan Sulung Tiga Program Baharu di UUM
Gambar oleh Shamsaimi Ezil
SINTOK, 10 November 2025: Majlis Konvokesyen Ke-38 Universiti Utara Malaysia (UUM) mencatat sejarah tersendiri apabila menyaksikan penganugerahan kepada graduan sulung bagi tiga program baharu, iaitu Sarjana Muda Sastera Linguistik dan Teknologi Maklumat, Sarjana Muda Sastera Kesusasteraan Kontemporari dan Pengurusan Industri Kreatif, serta Sarjana Muda Sejarah Gunaan.

Raja Muda Kedah, Duli Yang Teramat Mulia Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin, berkenan menyempurnakan penganugerahan kepada 716 graduan pascasiswazah, termasuk tiga program sulung, pada Sesi Kedua Majlis Konvokesyen Ke-38 yang berlangsung di Dewan Mu’adzam Shah, pagi ini.
Dalam titahnya, yang juga merupakan Pro-Canselor UUM, baginda mengingatkan agar para graduan mengamalkan nilai integriti dan terus menuntut ilmu sepanjang hayat, demi membentuk masyarakat yang berprinsip dan berdaya saing.

“Lakukan perkara yang betul walaupun tiada siapa yang melihat. Integriti ialah aset paling berharga. Dalam dunia yang penuh tekanan dan godaan untuk mengambil jalan pintas, integriti akan menjadi panduan dan pelindung diri.
Reputasi seseorang dibina dalam masa yang panjang tetapi boleh tercemar dalam sekelip mata. Justeru, para graduan diseru untuk terus berpegang kepada nilai kejujuran dan keadilan,” titahnya.
Raja Muda Kedah turut menyentuh isu ketidakseimbangan gender dalam pendidikan tinggi yang semakin ketara di seluruh dunia. Menurut baginda, berdasarkan data World Bank Group, wanita kini mewakili kira-kira 55 peratus daripada keseluruhan pelajar universiti di peringkat global, manakala di Malaysia, peratusannya lebih tinggi iaitu 59 peratus pada tahun 2024.

“Di UUM, sebuah universiti berfokuskan pengurusan, jurang ini lebih jelas apabila 70 peratus pelajarnya terdiri daripada wanita, berbanding hanya 30 peratus lelaki,” titah baginda.
Baginda menegaskan bahawa walaupun peningkatan penyertaan wanita amat dialu-alukan, langkah khusus perlu diambil bagi menggalakkan penyertaan lebih ramai pelajar lelaki di institusi pengajian tinggi melalui bimbingan, sokongan akademik, dan pendekatan berasaskan jantina yang inklusif.

Baginda turut menyeru graduan supaya tidak gentar menghadapi cabaran serta bersedia mempelajari perkara baharu secara berterusan.
“Para graduan juga hendaklah sentiasa bersedia untuk memberi sumbangan balik kepada universiti, keluarga, masyarakat dan seterusnya kepada negara. Gunakan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang dimiliki untuk berkhidmat kepada masyarakat, menjadi contoh teladan, serta pengaruh positif kepada orang lain,” katanya.
Mengutip kata-kata Mahatma Gandhi, baginda mengingatkan:
“Hiduplah seolah-olah kamu akan mati esok. Belajarlah seolah-olah kamu akan hidup selama-lamanya.”



