Campus

Jual E-Book, Wan Amirah berjaya bangunkan Laliya Empire

Gambar oleh Samsaimi Ezil

SINTOK, 10 November 2025: Minat, usaha, dan tekad akhirnya membuahkan hasil dengan wujudnya Laliya Empire.

Wan Amirah Iylia Wan Zoolamali, 25, muncul sebagai antara graduan yang berjaya menamatkan pengajian pada Majlis Konvokesyen Kali Ke-38, Sesi Kedua Universiti Utara Malaysia (UUM) setelah menamatkan pengajian Sarjana Muda Sastera Kesusasteraan Kontemporari dan Pengurusan Industri Kreatif, UUM.

 

Bagi Wan Amirah, perjalanan akademiknya bukan sahaja tentang pencapaian ilmu, malah penuh dengan dugaan hidup yang menguji ketabahan dan semangat tanggungjawab terhadap keluarga.

Pada 2022 hingga 2023, beliau menghadapi cabaran besar apabila ayahnya diserang sakit jantung secara mengejut dan menjalani dua kali pembedahan. Ibunya pula mengalami masalah batu karang dan terpaksa menjalani tiga kali pembedahan.

 

Pada ketika itu, beliau berada di semester tujuh dan terpaksa berulang-alik dari Kedah ke Selangor seminggu sekali setiap kali kelas tidak berlangsung, bagi memastikan ibu mendapat perhatian dan rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

 

“Waktu itu saya rasa sangat tertekan, tetapi saya perlu terus kuat demi keluarga. Saya mula berniaga ebook secara dalam talian menggunakan platform TikTok dan berjaya menjana pendapatan pertama lebih RM1,000, dan hasil jualan yang diperoleh diserahkan kepada ibu bapa saya,” katanya.

Beliau kini mempunyai syarikat sendiri, Laliya Empire, sebagai hasil usaha gigih dan semangat keusahawanan yang ditanam sejak awal.

 

Usaha akademik beliau juga membuahkan hasil apabila menerima Anugerah Dekan selama dua semester berturut-turut sepanjang tempoh pengajian di UUM.

 

Wan Amirah berkata, pengalaman menghadapi dugaan hidup sambil menumpukan kepada akademik dan kerjaya mengajar beliau nilai ketabahan, pengorbanan, dan kepentingan bekerja dengan tekun walaupun dalam tekanan.

“Setiap cabaran yang saya lalui menjadi pendorong untuk saya terus maju dan menghargai setiap peluang yang ada,” katanya.

Graduan yang penuh inspirasi ini kini menjadi contoh kepada rakan-rakan sebaya bahawa kejayaan bukan sekadar pengiktirafan akademik, tetapi juga ketahanan diri, semangat tanggungjawab, dan kecekalan menghadapi cabaran hidup.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button