Campus

Etiqah bergelar Doktor dalam usia 30 tahun, kini jadi pensyarah pelawat di China

Gambar oleh Shamsaimi Ezil

SINTOK, 10 November 2025: “Saya manusia biasa yang bekerja secara luar biasa.”
Itulah ungkapan yang menjadi pegangan hidup Dr. Nor Etiqah Haji Md Radzi, 30, graduan Doktor Falsafah (PhD) Universiti Utara Malaysia (UUM) yang menamatkan pengajian melalui laluan fast-track.

Raja Muda Kedah, Duli Yang Teramat Mulia Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin, yang juga Pro-Canselor UUM, berkenan menganugerahkan ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam Teknologi, Operasi dan Logistik kepada Nor Etiqah di Majlis Konvokesyen UUM ke-38, sesi kedua, yang berlangsung di Dewan Mu’adzam Shah, UUM, hari ini.

Beliau menjalankan penyelidikan bertajuk:“Reverse Logistics Symbiosis of E-Waste Recycling System: An Investigation on Stakeholder Engagement and Household Behaviour” di bawah bimbingan Ts. Dr. Emy Ezura A. Jalil sebagai penyelia utama.

Menurutnya, perjalanan PhD yang ditempuh bukan sesuatu yang mudah, apatah lagi apabila memilih laluan fast-track yang memerlukan beliau menyesuaikan diri dengan dunia penyelidikan sejak semester pertama.

“Perasaan saya puas, gembira, lega, dan sangat bersyukur. Dari semester pertama lagi saya perlu mengikuti kelas prasyarat dan menghadapi pelbagai cabaran. Ketika ramai rakan sekelas memilih untuk berhenti, saya teruskan perjuangan ini seorang diri,” katanya.

Beliau kini menetap dan berkhidmat di Hebei, China, sebagai pensyarah sepenuh masa di Kuala Lumpur University of Science and Technology (KLUST). Pada masa yang sama, beliau juga berkhidmat sebagai Pensyarah Pelawat (Visiting Lecturer) di Hebei Institute of International Business and Economics (HIIBE), Hebei, China.

Menurutnya lagi, empat hari sebelum berangkat ke China, beliau mengetahui dirinya sedang mengandung anak pertama, namun tetap meneruskan perjalanan akademik itu dengan semangat dan ketabahan luar biasa.

“Peluang datang, jangan lepaskan; doa dan bergantunglah sepenuhnya pada Allah,” nasihat suami tercinta.

“Saya bawa semangat itu bersama doa dan tawakal kepada Allah, dan Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar,” ujarnya.

Dr. Nor Etiqah mengakui cabaran di perantauan bukan sahaja menuntut kekuatan mental, malah fizikal, apabila beliau mengalami alahan teruk sepanjang kehamilan. Namun, beliau tetap melihat pengalaman itu sebagai satu bentuk ujian dan pelajaran berharga dalam kehidupan.

Anak bongsu daripada empat beradik ini menzahirkan rasa syukur dan penghargaan kepada seluruh ahli keluarga, khususnya ibu bapanya, Hajah Kartini Zakaria dan Haji Md Radzi Omar, yang menjadi sumber kekuatan utama sepanjang pengajian.

Kata-kata mama beliau terpahat dalam ingatan hingga kini: “Saya manusia biasa yang bekerja secara luar biasa.” Kata-kata itu menjadi azimat beliau sejak di bangku sekolah hingga ke peringkat PhD.

Dr. Nor Etiqah turut menzahirkan rasa terima kasih kepada suami tercinta, Muhammad Khairidhwan Abdul Aziz, serta keluarga mertua yang sentiasa memberi sokongan moral dan doa tanpa henti.

Menutup bicara, beliau menitipkan pesanan buat para pelajar agar tidak takut untuk bermimpi besar dan terus berusaha tanpa berputus asa.

“Jangan biarkan tekanan atau perbandingan dengan orang lain menghentikan langkah anda. Kejayaan bukan hanya tentang akademik, tetapi tentang ketabahan, disiplin, dan doa. Percayalah, setiap pengorbanan akan membuahkan hasil yang sangat bernilai suatu hari nanti,” pesan beliau.

Beliau hadir ke sesi konvokesyen kali ini bersama-sama keluarga tercinta.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button