Tunku Mahkota Kedah titah graduan kuasai ilmu, bahasa dan kemahiran baharu
Gambar Hairul Nizam Zahari
SINTOK, 10 November 2025: Pro-Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Duli Yang Amat Mulia Tunku Shazuddin Ariff Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin, Tunku Mahkota Kedah, bertitah agar graduan sentiasa berusaha menguasai ilmu, bahasa dan kemahiran baharu bagi meningkatkan daya saing di peringkat global.
Baginda bertitah demikian pada sesi ketiga Majlis Konvokesyen Ke-38 UUM yang berlangsung petang ini.

Pada majlis berkenaan, baginda menzahirkan rasa hairan terhadap jumlah graduan lelaki yang semakin berkurangan apabila seramai 4,607 graduan wanita berbanding 2,225 graduan lelaki menamatkan pengajian tahun ini.
Menurut baginda, seperti tahun-tahun sebelumnya, 67 peratus daripada keseluruhan graduan masih terdiri daripada wanita.
“Dunia tidak akan berhenti dan banyak peluang masa depan akan diterajui oleh golongan wanita profesional,” titah baginda.
Tunku Pro-Canselor turut mengingatkan tentang kepentingan menguasai pelbagai bahasa kerana ia menjadi jambatan yang menghubungkan manusia dengan peluang dan ilmu di peringkat antarabangsa.

“Dalam dunia kerjaya dan perniagaan yang semakin terbuka, kebolehan berkomunikasi dalam pelbagai bahasa seperti Bahasa Inggeris, Mandarin dan Arab bukan lagi sekadar satu kelebihan, tetapi kini menjadi satu keperluan,” titah baginda.
Baginda turut menekankan kepentingan bidang industri baharu seperti teknologi hijau dan ekonomi kitaran yang dijangka membuka banyak peluang pada masa hadapan.
Sebagai penutup, baginda menegaskan bahawa kejayaan graduan bukan penamat perjalanan akademik, sebaliknya permulaan kepada tanggungjawab yang lebih besar terhadap masyarakat dan negara.
“Jadilah generasi yang prihatin terhadap alam sekitar, inovatif dalam pemikiran serta berjiwa besar untuk berbakti kepada masyarakat dan negara,” titah baginda.
Pada sesi petang itu, seramai 709 graduan menerima ijazah masing-masing yang disampaikan oleh Tunku Pro-Canselor.



