Campus

Ayah, ibu… Saya dah berjaya

Gambar oleh Hairul Nizam Zahari

SINTOK, 11 November 2025: Di sebalik senyuman seorang graduan di pentas Konvokesyen Universiti Utara Malaysia (UUM) hari ini, tersembunyi kisah air mata, pengorbanan dan perjuangan yang hampir meragut semangat seorang anak bernama Ahmad Nasharuddin Saidi, graduan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Operasi, Pusat Pengajian Pengurusan dan Logistik (STML). Mesra disapa Udin.

Nasharuddin antara graduan yang hadir pada Sesi Keenam Majlis Konvokesyen Ke-38 Universiti Utara Malaysia (UUM) yang berlangsung penuh meriah di Dewan Mu’adzam Shah, pagi ini.

Berasal dari sebuah kampung kecil di Kelantan, anak bongsu daripada enam beradik ini bukanlah lahir dalam kesenangan.

Namun di tengah kehidupan serba kekurangan, ada satu impian yang terus membara dan mahu menggenggam segulung ijazah untuk dihadiahkan kepada ibunya dan mengenang arwah ayah tercinta.

“Ayah pernah berpesan, ‘Jaga ibu kamu baik-baik, kamu hanya ada seorang ibu dalam dunia ini yang tak terganti.’ Pesanan itu saya pegang sampai hari ini,” luah Nasharuddin dengan nada sebak.

Waktu orang lain sibuk belajar dalam keselesaan, beliau bergelut dengan realiti.

Pada semester pertama, rumahnya tidak mempunyai capaian internet. Demi menghantar tugasan, Nasharuddin terpaksa keluar rumah setiap malam mencari liputan, membawa telefon dan komputer riba sambil menahan gigil malam.

Ketika itu juga, ayahnya terlantar sakit tenat di hospital.

“Pernah doktor marah sebab ingat saya main telefon di wad, sedangkan saya sedang hadiri kelas dalam talian. Saya diam saja, sebab saya tahu tanggungjawab saya bukan kecil, saya nak jaga ayah, dan dalam masa sama saya kena teruskan belajar,” katanya dalam nada sedih.

Di hospital, Nasharuddin menunaikan tanggungjawab sebagai anak, menukar lampin, membersihkan tubuh ayah, dan memujuk apabila ayah kesakitan.

Ketika pandemik melanda, dunia seakan berhenti, namun perjuangan beliau tidak pernah berhenti.

Dengan wang saku hanya RM11 dalam akaun bank, beliau tetap ke kampus UUM demi menamatkan pengajian.

“Saya pernah minta tolong kawan untuk keluarkan duit sebab mesin ATM tak boleh keluarkan RM10. Masa itu saya masak nasi dan jadikan perencah Maggi sebagai kuah. Siang makan separuh, malam separuh,” ceritanya dengan linangan air mata.

Namun Tuhan menguji lagi. Di saat beliau sedang menghadapi peperiksaan akhir semester A202, ayahnya dikejarkan ke hospital. Ibunya pula perlu dikuarantin kerana COVID-19.

Tiada siapa yang dapat menjaga ayahnya. Tanpa berfikir panjang, Nasharuddin menaiki bas pulang ke Kelantan dengan wang hasil pinjaman rakan-rakan.

Sampai di hospital, Nasharuddin terpaksa membayar RM80 untuk ujian saringan (swab test). Nasharuddin memohon bantuan dengan meminjam sana sini. SOP ketika itu sangat ketat; tiada sesiapa boleh keluar masuk wad sesuka hati.

Nasharuddin tidak makan seharian, mencuri-curi roti dan sisa makanan pesakit lain sekadar untuk mengisi perut.

“Malam itu ayah sakit perut dan terbuang di atas katil. Saya bersihkan semuanya seorang diri. Lepas itu saya berlari ke tandas, menangis dan tumbuk dinding.

Saya cakap pada diri, ‘Kenapa orang lain boleh jaga ayah mereka, kenapa aku tak boleh?’” katanya sambil menunduk, menahan sebak.

Suka duka ditempuhi, akhirnya keajaiban kecil berlaku.

Pernah suatu malam, kereta abangnya rosak dan tidak boleh dihidupkan berjam-jam. Namun tiba-tiba, saat mereka benar-benar buntu, enjin hidup semula setelah seseorang berhenti dan memberi ruang parkir.

“Itu buat saya sedar, Tuhan tak pernah tinggalkan hamba-Nya sendirian,” katanya.

Namun tidak semua berakhir dengan gembira. Tidak lama selepas itu, ayahnya pergi menghadap Ilahi. Sejak hari itu, gambar ibu dan arwah ayah sentiasa terpapar di jam pintarnya (smartwatch) sebagai tanda rindu yang tak pernah padam.

Selepas tamat latihan industri di sebuah syarikat multinasional (MNC), Nasharuddin ditawarkan untuk terus bekerja di sana.

Nasharuddin sanggup berulang-alik dua kali seminggu antara Pulau Pinang dan Sintok untuk menghadiri kelas Mandarin di UUM.

Kini, setelah segalanya berlalu, beliau tersenyum syukur. Nasharuddin akhirnya berjaya menggenggam segulung ijazah dan bekerja sebagai Eksekutif di Multi Discovery Sdn Bhd, Kuala Lumpur dengan gaji lebih RM3,000 sebulan.

“Saya bukan pelajar bijak, bukan orang senang. Tapi saya percaya, kalau kita jujur dan terus berusaha, Tuhan akan buka jalan walaupun sebesar jarum.

Hari ini saya berdiri di pentas konvo, dan saya cuma nak cakap  ‘Ayah, Ibu… saya dah berjaya.’

Rezeki bukan pada pointer semata-mata. Ujian yang kita lalui bukan untuk menghukum, tapi untuk mendidik hati. Kadang-kadang kita tak nampak apa yang Tuhan dah sediakan, sebab kita masih sibuk menangis atas ujian yang lama.”

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button