Campus

Naib Canselor ajak graduan kekal dengan Ilmu, Integriti, dan Inovasi

Gambar oleh Samsaimi Ezil

SINTOK, 13 November 2025: “Bawalah ilmu sebagai cahaya, integriti sebagai bekal, dan inovasi sebagai sayap untuk terbang merentasi langit kemampuan diri,” ucap Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan dalam Majlis Konvokesyen Ke-38 yang diadakan di Dewan Mu’adzam Shah Sesi Kelapan, pagi ini.

Beliau turut mengingatkan para graduan mengenai cabaran dunia yang semakin dipengaruhi oleh revolusi teknologi, khususnya Kecerdasan Buatan (AI).“Walaupun AI membawa perubahan besar dalam cara kita hidup dan bekerja, perkara yang paling penting untuk difokuskan adalah jati diri dan nilai tempatan yang tidak dapat digantikan oleh mesin.

 

“Untuk melahirkan modal insan yang bertaraf global, kita tidak boleh hanya bergantung kepada kemahiran teknikal sahaja, tetapi juga kepada kemahiran berfikir aras tinggi, kreativiti, kecerdasan emosi, dan yang paling penting, jati diri serta nilai tempatan.

“Masa depan bukan tentang manusia melawan AI, tetapi manusia dan AI saling melengkapi. Untuk mencapai keseimbangan ini, kita perlu membina modal insan yang bijaksana, berilmu, tetapi tetap teguh dengan nilai kemanusiaannya,” katanya.

Sesi kelapan ini menyaksikan graduan dari program Sarjana Muda Sains (Teknologi Maklumat), Sarjana Muda Pendidikan (Teknologi Maklumat), Sarjana Muda Pendidikan (Pendidikan Moral), Sarjana Muda Pendidikan (Bimbingan & Kaunseling), Sarjana Muda Pendidikan (Pengurusan Perniagaan), Sarjana Muda Pendidikan (Perakaunan).

Selain itu, Sarjana Muda Pengurusan Industri Kreatif, Sarjana Muda Komunikasi, Sarjana Muda Teknologi Media, Sarjana Muda Sains (Multimedia), Sarjana Muda Sains (Sains Pemutusan), Sarjana Muda Sains (Matematik Perniagaan), Sarjana Muda Sains (Statistik Industri), Sarjana Muda Kaunseling, dan Sarjana Muda Pengurusan Kerja Sosial.

Dr. Mohd Foad turut mengucapkan tahniah dan syabas kepada para graduan yang berjaya menamatkan pengajian mereka setelah melalui perjalanan yang panjang, penuh cabaran dan pengorbanan.

“Di hadapan kita berdiri wira dan wirawati ilmu yang telah menempuh perjalanan panjang, dengan sabar dan tekun, hingga akhirnya menggenggam kejayaan yang gemilang,” ujarnya.

Beliau juga merakamkan penghargaan kepada ibu bapa dan keluarga para graduan, yang menjadi sumber kekuatan sepanjang perjalanan pendidikan anak-anak mereka.

Dr. Mohd Foad berharap agar ilmu dan pengalaman yang diperoleh di UUM dapat menjadi jambatan untuk para graduan memberi sumbangan yang bermakna kepada masyarakat dan negara.

Beliau juga menekankan tiga cabaran utama dalam membina modal insan yang berakar kepada nilai tempatan, iaitu universalisma palsu, pemutarbelitan realiti, dan penghapusan suara tempatan.

“Para graduan perlu memahami dan menghargai sejarah serta budaya bangsa sendiri untuk merangka pembangunan yang berpaksikan kekuatan dan pengalaman tempatan, sekali gus membebaskan diri daripada mitos dan naratif negatif yang pernah dicipta oleh penjajahan,” katanya.

Selain itu, beliau mengingatkan para graduan bahawa mereka membawa harapan bangsa dan nama UUM di dada.

“Semoga perjalanan selepas ini lebih bermakna, lebih bersinar, dan lebih berkat. Sesungguhnya, ilmu itu ibarat air, mengalir, menyuburkan budi, dan dari budi lahirlah bakti yang menyejukkan bumi,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button