Campus

788 graduan sesi sembilan menutup tirai Majlis Konvokesyen Ke-38 UUM

Gambar Shamsaimi Ezil

Sintok, 13 November 2025: Sesi sembilan yang merupakan sesi terakhir Majlis Konvokesyen Ke-38 menyaksikan 788 graduan daripada program separuh masa Pusat Pendidikan Profesional dan Lanjutan (PACE) dan Diploma Eksekutif Pengurusan Perniagaan, Universiti Utara Malaysia (UUM) menerima pengiktirafan akademik mereka.

Dalam ucapan Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua graduan serta mengucapkan terima kasih kepada ibu bapa dan keluarga yang menjadi sumber sokongan sepanjang perjalanan akademik mereka.

Menurutnya, graduan yang diraikan hari ini terdiri daripada pelbagai bidang termasuk Sarjana Muda Komunikasi, Sarjana Muda Pengurusan Industri Kreatif, Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan, Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan, Sarjana Muda Kewangan dan Perbankan Islam, Sarjana Muda Pengurusan Awam, Sarjana Muda Pengurusan Pelancongan, Sarjana Muda Pengurusan Hospitaliti serta Diploma Eksekutif Pengurusan Perniagaan.

Bercakap tentang ‘Ilmu, Integriti, Inovasi: Teras Kecemerlangan Graduan’, Dr. Mohd Foad menekankan bahawa ketiga-tiga nilai ini adalah falsafah pendidikan yang membentuk teras UUM.

Beliau menyeru graduan untuk terus menuntut ilmu, mengekalkan integriti dalam kerjaya, serta memupuk inovasi dalam menghadapi era Revolusi Industri 4.0 dan menuju 5.0.

“UUM berbangga melihat graduan tampil sebagai pencetus idea, penyelesai masalah, dan peneroka bidang baharu yang memberi manfaat kepada masyarakat dan industri.

“Gunakan ilmu sebagai pemangkin, dan inovasi sebagai wahana membawa perubahan kepada negara dan umat sejagat,” katanya.

Majlis ini menekankan bahawa pembelajaran sepanjang hayat adalah kunci untuk kekal relevan, manakala integriti dan amanah menjadi asas kepada kejayaan sejati.

Graduan digalakkan untuk meneruskan pengajian ke peringkat sarjana atau PhD bagi mengukuhkan ilmu dan kompetensi mereka.

Majlis Konvokesyen Ke-38 UUM kali ini mencerminkan komitmen universiti dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang akademik tetapi juga beretika dan inovatif, sejajar dengan moto universiti iaitu Ilmu, Budi, Bakti.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button