General

Wacana Intelek II perkukuh agenda kecekapan, akauntabiliti dan reformasi perkhidmatan awam

Gambar oleh: Jurufoto, JKK UUM

SINTOK, 3 Ogos 2026 – Wacana Intelek II bertemakan “Pemangkin Produktiviti dan Kecekapan Industri” telah berlangsung di Dewan Mu’adzam Shah, Universiti Utara Malaysia (UUM) sebagai platform perkongsian idea dan pengalaman dalam memperkukuh daya saing industri serta meningkatkan produktiviti negara.

Program tersebut dikendalikan oleh Pensyarah Pusat Pengajian Kerajaan, UUM, Dato’ Prof. Dr. Mohd Fo’ad Sakdan selaku moderator, manakala Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan), Dato’ Ts. Saipolyazan M. Yusop, dan Naib Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Antarabangsa Malaysia (MICCI), Dato’ Azman Shah Mohd Yusof, bertindak sebagai panel yang berkongsi pandangan mengenai usaha memperkukuh produktiviti, meningkatkan kecekapan industri serta memperkasakan daya saing ekonomi negara.

Dalam perkongsiannya, Dato’ Ts. Saipolyazan menegaskan bahawa kecekapan penyampaian perkhidmatan dan proses kelulusan pelaburan perlu dipertingkatkan bagi memastikan setiap pelaburan dapat direalisasikan tanpa kelewatan yang tidak perlu.

Menurut beliau, sebarang kelewatan dalam urusan kelulusan lesen atau penyelarasan antara agensi berkaitan bukan sahaja menjejaskan pelaksanaan projek, malah boleh menyebabkan negara kehilangan peluang pelaburan yang berpotensi menjana pertumbuhan ekonomi serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.

Beliau berkata, kecekapan dalam melaksanakan tugas merupakan elemen penting dalam memperkukuh prestasi perkhidmatan awam. Justeru, setiap penjawat awam perlu mengamalkan budaya kerja yang profesional, responsif dan berorientasikan penyelesaian bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat sentiasa berada pada tahap terbaik.

Mengulas mengenai pengukuran prestasi organisasi, beliau menjelaskan bahawa Petunjuk Prestasi Utama (KPI) tidak seharusnya dinilai berdasarkan pencapaian angka semata-mata. Sebaliknya, aspek nilai, etika dan integriti perlu diberikan keutamaan kerana elemen tersebut menjadi asas kepada pembentukan organisasi yang berwibawa, dipercayai serta mampu mengekalkan kecemerlangan secara mampan.

Beliau turut menyentuh mengenai Akta Iltizam yang disifatkan sebagai satu pendekatan penting dalam memperkukuh penyampaian perkhidmatan awam demi manfaat komuniti.

Menurut beliau, intipati utama akta tersebut adalah untuk memastikan setiap dasar, program dan inisiatif yang dilaksanakan dapat memberi manfaat kepada masyarakat. Beliau turut menekankan bahawa kerjasama strategik antara kementerian, jabatan dan agensi kerajaan amat penting bagi memastikan bantuan serta perkhidmatan dapat disampaikan secara lebih cekap, bersepadu dan berkesan.

Pendekatan tersebut bukan sahaja mengelakkan pertindihan fungsi, malah mempercepatkan penyelesaian isu yang dihadapi rakyat serta meningkatkan kesejahteraan masyarakat.

Sementara itu, Dato’ Azman Shah menegaskan bahawa kejayaan reformasi perkhidmatan awam bergantung kepada dua elemen utama, iaitu minda dan komunikasi.

Menurut beliau, kedua-dua aspek tersebut perlu diberi perhatian kerana pemikiran yang positif akan membentuk budaya kerja yang lebih progresif, manakala komunikasi yang berkesan dapat melancarkan urusan, memudahkan penyampaian perkhidmatan serta mengelakkan bebanan yang tidak perlu kepada pihak lain.

Beliau berkata, perubahan minda perlu diterapkan dalam kalangan penjawat awam agar setiap individu dapat menghayati semangat reformasi dalam setiap tugasan yang dilaksanakan. Reformasi bukan sekadar perubahan prosedur, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui sikap, nilai dan komitmen yang tinggi dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat. Menurut beliau lagi, tahap kecekapan sesebuah organisasi turut diukur melalui keupayaannya membuat keputusan secara pantas, tepat dan berkesan.

Mengulas mengenai Akta Iltizam, beliau berpandangan bahawa pelaksanaannya mampu memudahkan proses membuat keputusan, sekali gus mempercepat penyampaian perkhidmatan serta meningkatkan produktiviti dan kecekapan sektor awam.

Beliau turut menekankan kepentingan membina ekosistem organisasi yang kondusif serta persekitaran kerja yang menyokong budaya inovasi, kerjasama dan penambahbaikan berterusan.

Selain itu, beliau menjelaskan bahawa kepercayaan merupakan asas penting dalam membina hubungan antara kerajaan, rakyat dan pelabur.

Perkhidmatan yang berorientasikan pelanggan serta kerjasama erat antara kementerian dan agensi kerajaan akan meningkatkan keyakinan pelabur terhadap negara, sekali gus menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang lebih kompetitif.

Penganjuran Wacana Intelek II ini diharapkan dapat menjadi platform percambahan idea dan pemangkin kepada usaha melahirkan perkhidmatan awam yang lebih cekap, berintegriti, responsif serta berorientasikan rakyat, selaras dengan aspirasi tema “Iltizam: Memacu Kecekapan, Akauntabiliti dan Reformasi Perkhidmatan Awam.”

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button