Firdaus, pesakit kanser otak, genggam ijazah
Gambar oleh Muhammad Firdaus Amraan
SINTOK, 12 November 2025 – Muhammad Firdaus Amraan, seorang graduan dari Universiti Utara Malaysia (UUM), akhirnya menggenggam segulung ijazah dalam program Perakaunan (Sistem Maklumat) di Majlis Konvokesyen Ke-38 Universiti Utara Malaysia (UUM) di Dewan Mu’adzam Shah, sesi ketujuh kelmarin.
Namun, di sebalik kegembiraan hari konvokesyen ini, tersimpan kisah perjuangan yang menggetarkan hati.

Firdaus, 26, bukan hanya berjuang untuk meraih ilmu, tetapi juga berjuang untuk hidup setelah disahkan menghidap kanser otak tahap 4.
Firdaus, yang berasal dari Negeri Sembilan, memasuki UUM dengan semangat yang tinggi. Namun, perjalanan akademiknya tidak semudah yang dijangka.
Pada semester pertama dan kedua, Firdaus sudah menghadapi pelbagai cabaran.
Menurutnya, dia bukanlah pelajar yang bijak, tetapi dia gigih berusaha. Malangnya, pertengahan semester ketiga menjadi titik perubahan besar dalam hidupnya. Dia mula merasa tidak sihat, sering demam, dan kerap pengsan.
“Kali pertama saya rasa ada yang tak kena, saya terjatuh di dalam kelas dan tak sedarkan diri,” kata Firdaus, mengenang detik-detik sukar yang mengubah segalanya.
Pada awal tahun 2019, berat badan Firdaus turun dengan mendadak dan dia akhirnya dimasukkan ke hospital. Keadaan kesihatannya semakin merosot dan lemah.
Di sebalik diagnosis yang menakutkan, Firdaus tetap kuat dan berfikiran positif.
“Saya dimasukkan ke wad di Hospital Tampin, dan selepas itu dihantar ke Hospital Seremban. Di sana saya didiagnosis menghidap kanser otak (Brain cell tumor cancer) dan diberitahu bahawa tumor dalam otak saya sebesar bola golf,” katanya.
Setelah beberapa minggu berada di hospital, Firdaus dipindahkan ke Institut Kanser Negara (IKN) untuk rawatan lanjut.
“Selama berbulan-bulan, Firdaus menjalani rawatan kimoterapi sebanyak empat kitaran yang amat berat. Sepanjang tempoh itu, Firdaus koma, tidak sedarkan diri, dan mengalami penurunan berat badan yang ketara.”
“Saya hanya mampu sebut ‘nak encing’ dan ‘nak minum’,” jelasnya dengan nada pilu.

Namun, semangatnya tidak pernah padam. Semangat yang kuat dalam diri dan sokongan dari keluarga, Firdaus berjuang untuk hidup, berusaha bangkit meskipun tubuhnya lemah.
“Saya terpaksa tangguhkan dua semester. Pada 2019, saya tak dapat meneruskan pengajian, tetapi pada 2020 saya kembali ke kampus,” katanya.
Perjalanan akademiknya tidak mudah. Firdaus menyambung pengajian pada semester ke-6 dan ke-7.
Namun gagal menamatkan pengajian pada dua semester itu kerana kesan dari rawatan yang saya hadapi.
Firdaus tidak berputus asa dan mempunyai azam yang membara untuk berjaya dalam pengajian.
Dengan sokongan ibu bapa, pensyarah, dan sahabat-sahabatnya, Firdaus terus berusaha dan akhirnya, pada 12 November 2025, dia berjaya menamatkan pengajiannya walaupun pada permulaan pengajian, berhadapan dengan pelbagai cabaran dan dugaan yang menguji mental dan fizikal.
“Kejayaan hari ini bukan hanya untuk saya, tetapi juga untuk ibu bapa saya yang banyak memberi sokongan, untuk pensyarah yang sentiasa memberi semangat, dan untuk sahabat-sahabat yang tidak pernah berhenti memberi sokongan.

Ini juga hadiah buat diri saya sendiri, kerana saya dapat buktikan bahawa saya boleh berjaya walaupun melalui banyak cabaran,” ujarnya penuh syukur.“Jangan mudah berputus asa. kita perlu redha dengan qada dan qadar Allah.
Kita perlu berusaha untuk diri kita sendiri, berdoa, dan bertawakal kepada Allah. Ingatlah, Allah tidak akan menguji hamba-Nya dengan ujian yang tidak mampu ditanggung,” katanya dengan penuh keyakinan dan senyum.
Kini, Firdaus bukan sahaja berjaya menggapai impian untuk mendapat ijazah, tetapi juga menunjukkan kepada dunia bahawa tiada apa yang mustahil jika kita mempunyai semangat juang yang tinggi dan kepercayaan kepada Allah.
Kejayaan ini adalah bukti bahawa walaupun hidup penuh dengan ujian yang berat, dengan tekad, doa, dan sokongan orang tersayang, kita semua mampu menghadapinya dan mencapai impian.
Dekan dan pensyarah-pensyarah Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA-UUM), yang selama ini menjadi tunjang kekuatan dan bantuan, turut hadir meraikan kejayaan Firdaus di Majlis Konvokesyen Ke-38 Universiti Utara Malaysia (UUM) di Dewan Mu’adzam Shah.



