Program ‘Road to Success’ UUM–Al-Ikhsan Sports perkukuh mindset keusahawanan pelajar
Berita dan gambar oleh Khairul Anuar Adnan
SINTOK, 11 Nov 2025 – Program Inspirasi Keusahawanan & Kerjaya: “Road To Success”, anjuran Jawatankuasa Jaringan Industri, Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB), Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan kerjasama Al-Ikhsan Sports Sdn. Bhd., berjaya menarik penyertaan kira-kira 300 pelajar daripada pelbagai bidang pengajian.
Program yang berlangsung di Dewan Seminar CAS, DKG 4 itu memberi pendedahan kepada pelajar mengenai perjalanan kejayaan Al-Ikhsan Sports sebagai syarikat peruncitan barangan sukan terbesar di Malaysia, yang bermula daripada sebuah kiosk kecil bersaiz 100 kaki persegi pada tahun 1993 sebelum berkembang kepada lebih 170 buah cawangan di seluruh negara.

Eksekutif CSR Al-Ikhsan Sports, Muhd Arif Yaaziz, berkata perkongsian tersebut bertujuan memberi inspirasi kepada pelajar untuk memahami bahawa kejayaan menuntut usaha gigih, disiplin tinggi serta ketabahan menghadapi pelbagai cabaran.
“Kejayaan tidak datang bergolek. Ia memerlukan kerja keras, semangat tidak mudah menyerah, dan pengorbanan. Inilah nilai yang membawa Al-Ikhsan ke tahap hari ini,” katanya.
Beliau turut berkongsi tiga prinsip utama yang ditekankan pengasas Al-Ikhsan, Tuan Haji Ali Hassan Mohd Hassan, iaitu menjaga solat, menghormati ibu bapa, dan sentiasa bersedekah – amalan yang menjadi teras kekuatan syarikat sejak awal penubuhannya.

Selain sesi perkongsian, Al-Ikhsan turut menunaikan komitmen tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan menyampaikan sumbangan tunai RM100 kepada 10 pelajar B40 UUM.
Salah seorang penerima bantuan, Mohamad Helmi Mohamad Nor, pelajar Sarjana Muda Sains Ekonomi, menyifatkan sumbangan tersebut sangat membantu meringankan kos sara hidupnya di kampus.
“Ini bantuan pertama yang saya terima daripada syarikat swasta. Saya amat bersyukur dan berharap program seperti ini diperluaskan agar lebih ramai pelajar dapat manfaat,” katanya.
Selain itu, pelajar turut diberikan perkongsian ilmu keusahawanan, pendedahan peluang kerjaya, latihan praktikal, serta pelbagai hadiah dan cenderahati melalui kuiz sepanjang program berlangsung.

Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar & Alumni SEFB yang mewakili Dekan SEFB, Dr. Wan Roshidah, berkata kolaborasi strategik bersama Al-Ikhsan mampu membuka lebih banyak peluang alternatif kepada pelajar, termasuk mendorong mereka meneroka bidang keusahawanan sebagai pilihan kerjaya.
“Program seperti ini memberi ruang kepada pelajar untuk membina mindset keusahawanan dan tidak terlalu bergantung kepada pekerjaan makan gaji semata-mata,” katanya.
Sementara itu, Khairul Anuar Adnan, salah seorang tenaga pensyarah keusahawanan UUM, turut menyatakan bahawa program kerjasama strategik ini akan diteruskan secara konsisten.

“Kerjasama strategik antara SEFB dan Al-Ikhsan Sports ini terbukti memberi impak serta manfaat besar kepada pelajar. Justeru, ia wajar dijadikan acara tahunan peringkat pusat pengajian,” katanya.
Hasil penglibatan dalam program ini, ramai pelajar menyatakan hasrat untuk mengamalkan tiga prinsip kejayaan yang diketengahkan Al-Ikhsan. Mereka turut meniatkan bacaan Al-Fatihah kepada ibu bapa pengasas syarikat sebagai tanda penghargaan dan doa.
Jawatankuasa Jaringan Industri SEFB komited untuk terus mengadakan lebih banyak program pembangunan pelajar berasaskan keusahawanan pada masa hadapan, bagi memperkukuh modal insan dan meningkatkan daya saing pelajar UUM.
Program yang berlangsung dari jam 2.30 petang hingga 5.30 petang itu berakhir dengan jayanya.



