UUM sasar tiga pensijilan akreditasi antarabangsa utama menjelang 2028
Gambar oleh Muhammad Shamsul Shafie
SINTOK, 17 November 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) memperkukuh langkah ke arah kecemerlangan global dengan menetapkan sasaran meraih tiga akreditasi antarabangsa utama, AUN-QA, AACSB dan EQUIS menjelang tahun 2028.
Perkara itu ditegaskan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Mohd Azizuddin Mohd Sani dalam ucapan perasmian Townhall Akreditasi Antarabangsa UUM 2025 yang berlangsung di Auditorium 2, Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB), UUM.

Menurut beliau, sasaran ini merupakan strategi penting dalam meningkatkan reputasi dan daya saing UUM di persada pendidikan tinggi antarabangsa.
Sesi townhall ini menjadi satu platform yang penting bagi menghimpunkan warga akademik untuk menyelaras usaha persediaan menghadapi pelbagai proses audit dan penilaian antarabangsa yang bakal berlangsung.
Selain itu, UUM akan menjalani audit AUN-QA pada awal 2027 merangkumi tiga program akademik iaitu Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Pembangunan (Kepujian), SOG bagi pensijilan kitaran ke-3; Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Industri Kreatif (Kepujian), SCIMPA bagi permohonan Baharu; dan Sarjana Sains (Sains Koreksional), SAPSP bagi permohonan Baharu.

Di samping meneruskan proses kelayakan EQUIS setelah datasheet dihantar pada tahun ini.
UUM juga bersiap sedia untuk semakan penambahbaikan AACSB bagi kitaran 2027/2028, selaras dengan usaha mengukuhkan kepimpinan akademik, prestasi penyelidikan, hubungan industri dan kebolehpasaran graduan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada dua pusat pengajian yang mencapai kecemerlangan penting pada 2025 iaitu SOIS yang memperoleh pensijilan AUN-QA kitaran ketiga, dan STHEM yang menerima akreditasi Institute of Hospitality (IoH) untuk keseluruhan program ijazah sarjana muda dan satu program sarjana.

Sementara itu, Pengarah Pusat Pengurusan Kualiti dan Akreditasi (PPQA), Prof. Dr. Mohd Haniff Jedin, menegaskan bahawa akreditasi antarabangsa kini menjadi keperluan strategik bagi memperkukuh kedudukan UUM dalam landskap pendidikan global yang semakin kompetitif.
Majlis turut menyaksikan penyampaian sijil dan anugerah kepada fakulti dan individu yang berjaya mengekalkan pensijilan antarabangsa serta pemenang pertandingan UUM Innovations that Inspire.

Tiga sesi perkongsian turut diadakan yang disampaikan oleh Prof. Dr Mohd Haniff Jedin, Prof Dr Natrah Saad, dan Prof Dr Hassan Abu Bakar bagi memperincikan strategi dan keperluan AUN-QA, AACSB dan EQUIS.
Dengan komitmen seluruh warga universiti, UUM optimis untuk terus melakar kecemerlangan dan memperkukuh kedudukan sebagai universiti pengurusan terkemuka di peringkat serantau dan global.



