PPKKG semarakkan konvokesyen ke-38 dengan UUM Mini Career Day
Berita dan gambar oleh Anis Zulaikha Kamal
SINTOK, 10 November 2025: Sempena Minggu Konvokesyen UUM ke-38, Pusat Pembangunan Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan (PPKKG) telah menganjurkan UUM Mini Career Day 2025, sebuah program tahunan yang sentiasa dinanti-nantikan oleh para pelajar dan graduan.
Program yang berlangsung di Ruang Legar, Perpustakaan Sultanah Bahiyah ini berjaya menarik penyertaan sebanyak 15 syarikat dari pelbagai industri.

Sebagai program tahunan bersempena konvokesyen, UUM Mini Career Day terus memainkan peranan penting sebagai jambatan penghubung antara pelajar, graduan dan pihak industri.
Penganjuran ini bukan sekadar membuka peluang pekerjaan, malah berfungsi sebagai platform berimpak tinggi yang membantu pelajar memahami dinamika sebenar pasaran kerja.
Program ini memberi ruang kepada pelajar untuk menyantuni majikan secara langsung, bertanya soalan berkaitan peluang kerjaya, memahami budaya organisasi serta mendapatkan pencerahan mengenai kemahiran kritikal yang diperlukan dalam dunia pekerjaan.

Pada masa sama, ia memberi kelebihan kepada graduan yang bakal menerima skrol untuk meninjau peluang kerjaya terkini, membuat persediaan profesional dan membina rangkaian awal sebelum melangkah ke alam pekerjaan yang lebih mencabar.
Dengan penyertaan pelbagai syarikat dari sektor berbeza, program ini turut membuka perspektif baharu kepada pelajar tentang pilihan kerjaya yang lebih luas dan pelbagai.
Pengarah PPKKG, Dr. Fikriyah Abdullah turut menyatakan komitmen PPKKG dalam menyokong pembangunan kerjaya pelajar. “UUM Mini Career Day merupakan inisiatif penting yang membantu pelajar memahami realiti pasaran kerja serta mempersiapkan mereka dengan kemahiran yang diperlukan oleh majikan.

Setiap pelajar dan graduan UUM perlulah keluar dengan keyakinan, jaringan industri yang kukuh, serta persediaan profesional yang mantap. Inilah platform yang membuka pintu kepada peluang sebenar,” ujar beliau.
Pelbagai pengisian bermanfaat disediakan, termasuk ceramah kerjaya oleh syarikat-syarikat terlibat yang berkongsi mengenai perkembangan industri, keperluan kompetensi masa kini serta perancangan kerjaya jangka panjang.
Para pelajar turut diberi akses kepada sesi semakan resume bersama GRADUAN dan PERKESO, membantu mereka memperkemas dokumen profesional dan meningkatkan daya saing permohonan kerja.
Selain itu, program ini turut mengadakan sesi temu duga terbuka bersama Fastenal yang memberi peluang kepada pelajar menjalani temu duga sebenar serta memahami kehendak majikan secara langsung.

Turut memeriahkan suasana ialah pameran kereta oleh Mazda, kehadiran vendor makanan, serta cabutan bertuah dengan pelbagai hadiah menarik.
Sebagai tanda penghargaan kepada syarikat dan pihak industri yang terlibat, sesi penyampaian sijil penghargaan dan cenderamata turut diadakan oleh Pengarah Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP), Muhammad Iskandar Zulkarnain Muhammad Suhaimi, diiringi oleh Pengarah PPKKG sebagai tanda menghargai komitmen dan kerjasama mereka dalam menjayakan program serta menyokong perkembangan kerjaya pelajar UUM.
Sebagai sebuah program tahunan yang konsisten dianjurkan ketika minggu konvokesyen, UUM Mini Career Day memberi impak besar dalam mempersiapkan pelajar menghadapi dunia pekerjaan.
Program ini bukan sahaja meningkatkan kebolehpasaran graduan, malah mengukuhkan hubungan strategik antara universiti dan industri, sejajar dengan komitmen UUM dalam melahirkan graduan berdaya saing dan bersedia menawan pasaran kerja.



