Campus

Simbol kasih dan ilmu: IBS raikan graduan PhD dan master sempena majlis konvokesyen UUM ke-38

Gambar oleh  Nur Ismahani Binti Zamry (Pelajar Intern IBS)

SINTOK, 09 November 2025: Pusat Pengajian Perniagaan Islam (Islamic Business School, IBS), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan Majlis Apresiasi Graduan Pascasiswazah bersempena dengan Majlis Konvokesyen UUM ke-38.

Majlis yang berlangsung di kampus Sintok ini bertujuan meraikan kejayaan para graduan pascasiswazah IBS, khususnya graduan PhD dan Sarjana, yang telah berjaya menamatkan pengajian mereka dengan cemerlang.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Dekan IBS, Prof. Dr. Selamah Maamor, dengan kehadiran para penyelia, barisan akademik, staf pentadbiran serta para graduan.

Istimewa pada sesi kali ini, diadakan Upacara Menyarungkan Jubah (Robing Ceremony) bagi graduan PhD, di mana setiap penyelia diberi penghormatan untuk menyarungkan jubah kepada pelajar masing-masing sebagai simbol kejayaan dan hubungan akademik yang berterusan antara penyelia dan pelajar.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Sahibus Samahah Mufti Pahang, Prof. Dato’ Dr. Asmadi Mohamed Naim, serta Prof. Dr. Nor Hayati Ahmad, yang bersama-sama meraikan detik bermakna ini.

Dalam ucapannya, Prof. Dr. Selamah menzahirkan rasa bangga dan syukur atas pencapaian para graduan yang telah berjaya menempuh perjalanan akademik penuh cabaran.

Kejayaan para graduan hari ini adalah hasil usaha gigih, doa, dan sokongan semua pihak. IBS berbangga kerana dapat melahirkan graduan yang bukan sahaja berilmu, tetapi juga beretika dan berintegriti tinggi selaras dengan nilai-nilai Islam,” katanya.

 

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua penyelia dan staf akademik yang sentiasa komited dalam membimbing pelajar ke arah kecemerlangan.

Majlis yang dihadiri oleh lebih 20 tetamu itu turut menjadi platform memperkukuh hubungan silaturahim antara pelajar dan tenaga akademik, sekali gus mencerminkan semangat kekeluargaan warga IBS.

Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua graduan yang telah berjaya menamatkan pengajian dan akan bergraduasi. Semoga terus melangkah dengan ilmu, integriti, dan semangat untuk berbakti kepada ummah. – Dr Noraziah Che Arshad

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button