University Outreach Programme: Kerjasama PPKKG –khazanah perkasa kesediaan kerjaya mahasiswa
Gambar oleh Pelajar Praktikum & Anis Zulaikha Kamal
SINTOK, 11 November 2025: Pusat Pembangunan Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan (PPKKG) dengan kerjasama Khazanah Nasional telah menganjurkan program University Outreach Programme yang berlangsung di Auditorium, SAC. Program ini memberikan manfaat besar kepada para pelajar melalui dua pengisian utama iaitu sesi pagi untuk pelajar tahun 1 dan 2 serta sesi petang untuk pelajar tahun 3 dan 4.

Pada sesi pagi, pelajar tahun 1 dan 2 diperkenalkan kepada peranan Khazanah serta arah tuju organisasi dalam pembangunan bakat negara. Forum dan sesi perkongsian yang dijalankan memberi pencerahan tentang bagaimana pelajar boleh mencipta peluang kerjaya mereka sendiri, kepentingan membina kemahiran insaniah dan teknikal, serta cara memahami kehendak majikan.
Pelajar juga berpeluang mendengar pengalaman sebenar daripada barisan profesional, sekali gus membina keyakinan terhadap potensi diri dan persediaan awal menghadapi dunia pekerjaan.
Sesi pagi turut menampilkan TED Talk oleh Dr. Raslan Haniff, Pengarah, Pengurusan Modal Insan Strategik, yang berkongsi mengenai ciri-ciri calon berkualiti yang mampu melayakkan diri ke peringkat temu duga. Beliau menekankan kepentingan pemikiran strategik, nilai integriti, kebolehan menyelesaikan masalah serta kesediaan untuk belajar secara berterusan sebagai faktor utama yang dinilai oleh majikan masa kini.

Pada sebelah petang, pengisian untuk pelajar tahun 3 dan 4 memberi tumpuan kepada aspek persediaan kerjaya dari sudut praktikal. Perkongsian industri membuka mata pelajar tentang perubahan landskap pekerjaan, keperluan kemahiran masa hadapan serta peluang pembangunan bakat seperti K-Youth.
Sesi petang turut diserikan dengan perkongsian oleh Latifah Daud, Perunding Sumber Manusia (Perundingan & Transformasi) yang memberikan perspektif mendalam mengenai transformasi bakat, keperluan kemahiran adaptif serta strategi membina kebolehpasaran diri secara berstruktur. Nasihat beliau membantu pelajar merangka langkah strategik untuk menempatkan diri dalam pasaran kerja dengan lebih yakin dan berfokus.

Sesi soal jawab dan interaksi sepanjang program turut memberi ruang kepada pelajar untuk mendapatkan pandangan terus daripada pakar industri, selain membina rangkaian profesional yang bermanfaat.
Menurut Dr. Fikriyah Abdullah, Pengarah PPKKG, penganjuran program ini selari dengan komitmen UUM untuk memastikan para pelajar sentiasa didedahkan kepada realiti dunia kerja dan ekosistem industri sebenar. Beliau menegaskan bahawa kolaborasi bersama Khazanah membantu pelajar melihat potensi masa depan mereka dengan lebih jelas serta mempersiapkan diri dengan kemahiran yang relevan dan kompetitif.

Secara keseluruhan, program ini bukan sahaja meningkatkan kesedaran pelajar tentang keperluan pasaran kerja semasa, tetapi turut memperkasa mereka dengan pengetahuan, inspirasi dan keyakinan untuk melangkah ke dunia kerjaya dengan lebih bersedia.
Turut hadir bagi menjayakan program ini ialah Arlina Abdul Razak, Naib Presiden, Pengurusan Modal Insan Strategik; Muhammad Safwan Abdul Rahman, Naib Presiden, Pengurusan Modal Insan Strategik; Shalany Balakrishnan, Naib Presiden, Pengurusan Modal Insan Strategik; Wan Noorhayatie Mohd Zainuddin, Naib Presiden, Pengurusan Modal Insan Strategik; Ryan Surayan, Associate (Penyelidik); Aina Azri, Pembantu Eksekutif (Teknikal); serta Nurhashimah Mohd Shariff, Associate. Kehadiran barisan profesional ini memperkukuh lagi nilai pendedahan industri yang diterima para pelajar sepanjang program. – Anis Zulaikha Kamal



