Inisiatif Pembangunan Sumber Manusia: BPSM, UUM laksana program pemantapan pentadbiran UUM Kampus Kuala Lumpur
Gambar oleh Unit Pembangunan Bakat, JSM
KUALA LUMPUR, 19 November 2025: Program Pemantapan Pentadbiran Staf UUM Kampus Kuala Lumpur telah diadakan pada 17 hingga 19 November 2025. Program ini merupakan salah satu inisiatif pembangunan sumber manusia oleh Bahagian Pembangunan Sumber Manusia (BPSM), Jabatan Sumber Manusia (JSM) hasil daripada dapatan semakan beban tugas staf dan fungsi UUMKL yang telah dijalankan pada bulan Jun yang lalu.

Melalui pelaksanaan ini, pihak urusetia program memberi fokus kepada penambahbaikan proses kerja, penyelarasan fungsi, memperkukuh tadbir urus serta kecekapan penyampaian perkhidmatan secara berterusan.
Antara pengisian program merangkumi sesi penerangan dasar dan garis panduan, On-the-Job Training (OJT), pengemaskinian dan penyeragaman Job Description (JD) terkini bagi setiap jawatan, peningkatan kefahaman terhadap peraturan perkhidmatan serta pemantapan budaya kerja berintegriti dan berakauntabiliti selaras dengan keperluan semasa UUM.
Satu sesi khas bersama Pendaftar UUM, Ahmad Rasidi Abdullah telah diadakan pada hari terakhir program yang turut dihadiri staf pentadbiran Othman Yeop Abdullah Graduate School of Business (OYAGSB) Kampus Kuala Lumpur.
Dalam sesi tersebut, beliau telah menerangkan secara jelas mengenai konsep Semangat MALAYSIA yang digariskan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN), ialah Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dengan mengaitkannya secara langsung kepada peranan dan tanggungjawab warga kerja UUM.

“Semangat MALAYSIA yang digariskan oleh KSN bukan sekadar slogan, tetapi mengajak kita menghayati nilai Mesra dalam memberikan perkhidmatan yang berhemah, bersikap adil dan meletakkan sesuatu pada haknya, bekerja dengan luhur dan komited, melaksanakan tugas dengan amanah, yakin dengan keupayaan diri, sentiasa setia kepada organisasi serta prinsip perkhidmatan, mengamalkan Islah melalui penambahbaikan berterusan, dan menjadi arif dengan ilmu serta kebijaksanaan.
“Sebagai staf UUM, nilai ini perlu diterjemahkan dalam pelaksanaan tugas harian melalui penyampaian perkhidmatan yang profesional, berintegriti dan berorientasikan pemegang taruh,”ujar beliau.
Inisiatif ini dijangka memperkukuh ekosistem pentadbiran UUMKL ke arah perkhidmatan yang lebih responsif, tersusun dan berimpak, seterusnya menyokong aspirasi universiti dalam kecemerlangan pengurusan sumber manusia. – Kartini Tajul Urus



