Program “Digital Connected: Generasi Usahawan Baharu” Perkukuh Literasi Digital, SDG & ESG dalam kalangan pelajar
Gambar oleh Luftiyah Adela
SINTOK, 29 November 2025 – Program Digital Connected: Generasi Usahawan Baharu anjuran Pusat Kokurikulum dengan kerjasama Pusat Pembangunan Keusahawanan Siswa (PPKS) berjaya menarik penyertaan pelajar kursus Siswaniaga dalam usaha memperkukuh kemahiran digital dan keusahawanan berdaya saing.
Program berlangsung di Dewan Seminar A, Pusat Konvensyen dari jam 9 pagi hingga 3 petang dengan pengisian padat serta interaktif.

Sesi perkongsian utama disampaikan oleh wakil ToyyibPay, YES YTL dan Prudential Insurance yang membincangkan kemahiran transaksi digital, keselamatan pembayaran, strategi pemasaran dalam talian, solusi insurans korporat serta peluang perniagaan menerusi ekosistem digital masa kini.
Penceramah turut menekankan keperluan usahawan muda memahami transformasi teknologi sebagai pemangkin pertumbuhan dan kelangsungan perniagaan.

Turut hadir memeriahkan program ialah Pengarah Pusat Kokurikulum, Dr. Za’im Ahmad, serta Pengarah Pusat Pembangunan Keusahawanan Siswa, Encik Fadzil Mohd Husin. Kedua-dua tokoh ini menegaskan bahawa literasi digital bukan lagi pilihan, tetapi keperluan asas dalam membentuk generasi usahawan yang inovatif, kompetitif dan berdaya cipta tinggi.
Selain memfokus kepada kemahiran perniagaan, program ini turut menyelitkan elemen Sustainable Development Goals (SDG) dan Environmental, Social and Governance (ESG) sebagai teras pembangunan usahawan moden.

Selaras dengan SDG 8 (Pekerjaan Layak dan Pertumbuhan Ekonomi) dan SDG 9 (Industri, Inovasi dan Infrastruktur), peserta digalakkan untuk membina model perniagaan digital yang mampan, inklusif dan beretika.
Dari perspektif ESG, penceramah menekankan bahawa usahawan masa kini perlu mempraktikkan tadbir urus perniagaan yang telus, mengutamakan impak sosial positif serta meminimumkan jejak alam sekitar.
Pendekatan ini bukan sahaja meningkatkan reputasi perniagaan, malah memenuhi jangkaan pengguna dan pelabur yang semakin mementingkan prinsip keberdayaan.

Para peserta menyatakan bahawa program ini membantu mereka memahami realiti ekonomi digital serta strategi memulakan perniagaan menggunakan platform yang mudah diakses.
Mereka turut menghargai peluang untuk berinteraksi secara langsung dengan pemain industri digital yang berpengalaman.
Program ini diakhiri dengan sesi soal jawab dan demonstrasi ringkas mengenai penggunaan platform digital. Penganjur berharap program ini menjadi pemangkin kepada lahirnya lebih ramai usahawan muda UUM yang celik digital, berintegriti dan berlandaskan nilai pembangunan mampan. – Halim Md. Yatim



