Program cultural pathway outbound mobility
Berita dan gambar oleh: Juita Natasya Jasmuri
INDONESIA, 7 Disember 2025: Majlis Tertinggi di bawah Jawatankuasa Kepimpinan dan Pembangunan Siswa, Residen Siswa dan Ketua Blok (JKPS/RS/KB) Inapan Siswa MISC, telah melakar satu kejayaan membanggakan apabila berjaya menganjurkan Program Culture Pathway Outbound Mobility ke Malang, Indonesia selama sembilan hari lapan malam pada 14 hingga 22 November lalu.
Program berprestij ini menghimpunkan seramai 19 orang pelajar terpilih bersama dua orang pegawai pengiring, yang kesemuanya berangkat sebagai duta kecil universiti bagi membawa imej UUM ke persada antarabangsa.

Menurut Pengarah Program, Kamarul Danial Zaini, penganjuran program ini bertujuan memperluas horizon pemikiran pelajar melalui pendedahan global, meningkatkan kompetensi akademik dan sosial, serta mengukuhkan nilai kepimpinan dan jati diri dalam suasana antarabangsa yang sebenar.
Beliau turut menegaskan bahawa pengalaman mobiliti sebegini merupakan pemangkin utama dalam pembentukan mahasiswa berdaya saing, versatil dan berwibawa selaras dengan agenda pendidikan global.
Sepanjang berada di Malang, para peserta telah mengikuti rangkaian aktiviti padat dan bermanfaat, antara kemuncak program termasuklah sesi pembelajaran dan pertukaran ilmu di Universitas Brawijaya, sesi engagement bersama mahasiswa tempatan, lawatan industri, dan penjelajahan ilmiah ke lokasi penting seperti Museum Angkut, Museum Brawijaya, Kampung Warna-Warni Jodipan dan Kampung Polowijen. Aktiviti ini bukan sahaja memberi pendedahan budaya yang mendalam, malah membuka ruang kepada peserta untuk membina jaringan antarabangsa yang kukuh.
Tidak ketinggalan, peserta turut menyertai aktiviti luar seperti pendakian ringan di kawasan pegunungan, sesi kepimpinan berpasukan, serta cultural immersion bersama komuniti setempat.

Kesemua aktiviti ini dirangka bagi mencungkil potensi pelajar dari sudut komunikasi, ketahanan mental, penyelesaian masalah, dan kerjasama pasukan
Lebih bermakna, program ini turut menerima sokongan padu daripada komuniti kampus di Universitas Brawijaya yang menyambut peserta UUM dengan penuh mesra dan profesional.
Pengalaman ini nyata memberi suntikan semangat baru kepada pelajar untuk terus cemerlang dalam akademik sambil membina perspektif global. Sepanjang program, aspek keselamatan dan kebajikan sentiasa dijaga dengan rapi oleh pegawai pengiring dan pihak UB, memastikan semua aktiviti berjalan lancar. Para peserta akhirnya kembali ke Malaysia dengan selamat, membawa pulang kenangan berharga serta ilmu yang tidak ternilai.
Program ini melabuhkan tirai dengan Majlis Penutup yang berlangsung dalam suasana penuh penghargaan. Dalam ucapan penutup, wakil institusi UB merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas kerjasama erat antara UUM dan UB.
Setinggi-tinggi penghargaan turut diberikan kepada Dr. Mazri Bin Yaakob, Pengetua Inapan Siswa MISC, atas sokongan dan kepercayaan beliau kepada Majlis Tertinggi JKPS/RS/KB Inasis MISC dalam menjayakan program ini.
Kejayaan besar program ini diharapkan membuka lebih banyak peluang kolaborasi antarabangsa serta menyemarakkan semangat mahasiswa untuk terus melangkah jauh sebagai pemimpin masa hadapan.



