Campus

BE @PENANG 2025 University Roadshow tarik minat pelajar UUM teroka dunia business events

Gambar oleh STHEM

SINTOK, 30 November 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) melalui Pusat Pengajian Pengurusan Pelancongan, Hospitaliti dan Acara (STHEM) telah menerima kunjungan Business Events Penang (PCEB) dalam program BE @PENANG 2025 University Roadshow bertempat di DKG 8/2, STHEM.

Program berlangsung selama dua jam telah mendapat sambutan menggalakkan daripada para pelajar khususnya dalam bidang MICE dan Event Management.

Roadshow ini menampilkan penceramah jemputan iaitu Izzardzafli Padzil, Executive of Marketing & Communication, Penang Convention and Exhibition Bureau, yang berkongsi tentang perkembangan industri Business Events (BE), peluang kerjaya, strategi pemasaran destinasi, serta persediaan profesional untuk memasuki industri tersebut.

“BE merupakan sektor berimpak tinggi yang membuka pelbagai peluang baharu kepada graduan, termasuk dalam bidang konvensyen, pameran, insentif, serta pengurusan acara bertaraf antarabangsa”, ujar beliau. Beliau turut menekankan kepentingan kemahiran komunikasi, kreativiti, dan kebolehan pelajar menyesuaikan diri dengan teknologi sebagai pemangkin kejayaan dalam industri.

Turut hadir mewakili STHEM iaitu Dr. Ahmad Edwin Mohamed bersama barisan pensyarah Event Management (BEM) yang memberikan sokongan penuh terhadap inisiatif kolaboratif antara universiti dan industri ini. Kehadiran para pensyarah ini memperkukuh aspirasi STHEM untuk memastikan kurikulum kekal relevan dengan keperluan industri semasa.

Program ini bukan sahaja membuka ruang perkongsian ilmu, malah memberi peluang kepada pelajar UUM untuk menjalin hubungan dengan organisasi industri melalui sesi soal jawab dan interaksi langsung.

STHEM UUM komited untuk terus memperkukuh jaringan industri serta menyediakan platform pembelajaran berasaskan pengalaman bagi melahirkan graduan yang kompeten dalam sektor pelancongan, hospitaliti dan acara. – Dr. Azizah Ismail

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button