135 murid SK Dulang terokai sains dan matematik dalam Kem Dinamik STEM anjuran MOSTI
Berita dan gambar oleh Norhafiza Mohd Noor, SQS
YAN, 2 Disember 2025 : Kem Dinamik STEM telah berlangsung dengan penuh meriah dengan penyertaan seramai 135 pelajar tahap 2 daripada Sekolah Kebangsaan Dulang.
Kem yang bertujuan untuk memupuk minat pelajar dalam bidang STEM ini merupakan anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan kerjasama PIBG SK Dulang serta Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS), UUM.

Seramai 4 orang pensyarah daripada SQS iaitu Norhafiza Mohd Noor (ketua), Dr Ayu Abdul Rahman, Yuhaniz Ahmad dan Zakiah Hashim bertindak sebagai pelaksana dan penggerak utama program.
Pelaksanaan kem turut diperkasa dengan bantuan 25 orang pelajar UUM yang bertindak sebagai fasilitator bagi memastikan kelancaran setiap aktiviti.
Program berbentuk hands-on ini mengetengahkan tiga aktiviti utama yang menguji kreativiti, kemahiran menyelesaikan masalah serta pemahaman konsep sains dan matematik para peserta.

Aktiviti pertama berbentuk eksplorace dan menguji kemampuan peserta menyelesaikan tugasan Matematik di setiap lima checkpoint.
Aktiviti kedua memerlukan peserta untuk membina replika gunung berapi dan menjalankan eksperimen campuran cuka dan baking soda sambil memerhati variasi letusan berdasarkan kuantiti bahan.
Seterusnya, aktiviti ketiga memperkenalkan konsep asas fizik apabila peserta membina kereta belon menggunakan bahan kitar semula dan mengujinya melalui daya tujahan udara.

Majlis penutup turut dimeriahkan dengan kehadiran Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Yan (Sektor Pembangunan Murid), Khairil Azani Arzmi, yang merasmikan penutupan program.
Beliau menyampaikan penghargaan atas usaha UUM dalam memperkukuh pendidikan STEM dan menyediakan platform pembelajaran bermakna kepada murid.
Penganjuran Kem Dinamik STEM ini membuktikan komitmen berterusan MOSTI dan UUM dalam menyokong agenda pendidikan negara melalui pendekatan interaktif dan berimpak tinggi.



