Program STI MADANI: Jelajah STEM @ UUM
Berita dan gambar oleh: Persatuan Sains Kuantitatif (QUSAC)
LANGKAWI, 06 Disember 2025: Program STI MADANI: Jelajah STEM @ UUM telah berlangsung dengan penuh meriah di SMK Tunku Putra, Langkawi, melibatkan 100 orang murid dari empat sekolah sekitar Langkawi iaitu SMK Tunku Putra, SMK Ayer Hangat, SMK Kedawang dan SMK Kelibang.

Program anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) ini dilaksanakan oleh Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS), Universiti Utara Malaysia (UUM).
Penganjuran program ini diketuai oleh Prof. Madya Dr. Nor Aishah Ahad, bersama Dr. Nor Hisham Haron, Dr. Teh Yuan Ying, Dr. Ch’ng Chee Keong, Dr. Mohd Azri Pawan Teh, Dr. Nur Azulia Kamarudin dan Dr. Shanizan Herman Mohd Radzi.

Program ini memberi penekanan kepada pembelajaran STEM secara interaktif melalui aktiviti matematik berasaskan permainan.
Antara aktiviti yang dijalankan adalah Tangram, yang menguji kreativiti murid dalam menyusun bentuk geometri; Match Math, permainan padanan nombor dan operasi matematik; Ace of Math, cabaran kuiz matematik pantas; serta Tower Hero, aktiviti membina menara menggunakan bahan terhad yang menggalakkan pemikiran kritis dan kreativiti.

Murid-murid menunjukkan keaktifan dan kerjasama yang tinggi sepanjang program, dibimbing oleh pensyarah SQS dan fasilitator QUSAC serta disokong oleh guru-guru dari semua sekolah.
Aktiviti yang dijalankan bukan sahaja membantu murid memahami konsep matematik dengan cara lebih praktikal, malah turut meningkatkan keyakinan diri dan kemahiran komunikasi mereka.
Program ini berjaya mencapai objektifnya dengan memberi pengalaman pembelajaran matematik yang lebih menyeronokkan dan bermakna kepada para peserta, sekali gus merangsang minat mereka terhadap bidang STEM.



