Campus

Lawatan penanda aras PKCP UMT ke Pusat Kokurikulum UUM perkukuh pembangunan holistik pelajar

Gambar oleh Pusat Kokurikulum

SINTOK, 21 Disember 2025: Pusat Kokurikulum, Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menerima kunjungan Lawatan Penanda Aras daripada Pusat Kokurikulum dan Citra Pelajar (PKCP), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bertempat di Pusat Kokurikulum UUM.

Delegasi UMT diketuai oleh Pengarah PKCP, Dr. Muhammad Syarifuddin Yahya, bersama Ketua Jabatan Kokurikulum Berkredit, Ts. Dr. Mohamad Hakim Che Harun, Ketua Jabatan Badan Beruniform, Dr. Muhammad Zuhaili Suhaimi, serta barisan staf PKCP UMT. Kehadiran delegasi disambut mesra oleh Pengarah dan warga Pusat Kokurikulum UUM.

Lawatan ini bertujuan untuk berkongsi amalan terbaik serta memperkukuh kerjasama strategik antara kedua-dua institusi khususnya dalam aspek pengurusan akademik dan pelaksanaan aktiviti kokurikulum yang menyokong pembangunan pelajar secara holistik.

Perbincangan yang diadakan memberi tumpuan kepada struktur akademik kokurikulum, pelaksanaan program berimpak tinggi serta peranan kokurikulum dalam membentuk sahsiah, kepimpinan dan kebolehpasaran graduan.

Dalam ucapan alu-aluan, Pengarah Pusat Kokurikulum UUM, Dr. Za’im, menzahirkan penghargaan atas kesudian delegasi UMT mengadakan lawatan penanda aras ke UUM.

“Lawatan ini membuka ruang perkongsian ilmu yang bermakna dalam memperkukuh pengurusan kokurikulum di universiti awam. Pusat Kokurikulum UUM sentiasa komited dalam menyokong pembangunan pelajar secara holistik selari dengan keperluan semasa industri dan masyarakat,” katanya.

Sementara itu, Dr. Muhammad Syarifuddin Yahya dalam ucapan balasnya menekankan kepentingan kolaborasi strategik antara institusi pengajian tinggi.

Menurut beliau, “Perkongsian amalan terbaik antara UMT dan UUM amat penting bagi memastikan program kokurikulum kekal relevan, berimpak dan mampu membentuk citra pelajar yang seimbang dari segi akademik, kepimpinan dan nilai insaniah.”

Selain sesi perbincangan, delegasi UMT turut dibawa melawat fasiliti Pusat Kokurikulum UUM bagi melihat secara langsung kemudahan, prasarana serta persekitaran pembelajaran yang menyokong pelaksanaan aktiviti kokurikulum secara menyeluruh.

Lawatan penanda aras ini diharap dapat memperkukuh jaringan kerjasama antara UUM dan UMT serta menjadi pemangkin kepada pembangunan inovasi kokurikulum demi melahirkan graduan yang holistik dan berdaya saing.- Nur Khairiel Anuar

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button